malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Orang Asli Temiar 'bertempur' dengan pembalak dibebaskan
ADS

Tiga Orang Asli yang ditangkap awal hari ini selepas dikatakan 'bertempur' dengan pembalak telah dibebaskan.

NGO Centre for Orang Asli Concerns (COAC) berkata ketiga-tiga individu itu dibebaskan sekitar 3 petang tadi.

Sementara itu, Penyelaras COAC Dr Colin Nicholas berkata Orang Asli Temiar akan membina semula sekatan (blockade) di Kampung Sungai Papan, yang telah dirobohkan pagi tadi.

"Mereka merancang untuk membina semula sekatan ini malam ini, peraturan perhutanan tidak dipedulikan di sini. Kami juga mengesyaki pembalakan itu haram kerana mereka enggan meletakkan papan tanda atau menunjukkan permit," katanya kepada Malaysiakini.

COAC sebelum ini berkata tidak meletakkan papan tanda dan tidak mengadakan rundingan dengan penduduk tidak mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh Skim Persijilan Kayu Malaysia (MTCC).

Dia mendakwa pihak pembalak berani kerana mendapat sokongan oleh kerajaan negeri Perak, dan pembalakan itu juga telah diluluskan dengan cepat untuk kawasan Pos Piah yang berdekatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy membidas penangkapan itu dengan berkata bahawa Mahkamah Persekutuan telah mengakui bahawa hak tanah adat Orang Asli melangkaui hak-hak kerajaan negeri.

"Sehingga sempadan undang-undang hak tanah Orang Asli ditentukan, saya berpendapat bahawa ia adalah menyalahi undang-undang bagi pihak berkuasa negeri untuk secara sepihak memberi permit kepada pemaju untuk menceroboh dan mengeksploitasi hak-hak orang-orang yang tidak berdaya tanpa persetujuan yang diberitahu terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu, polis Gerik berkata ketiga-tiga Orang Asli suku Temiar itu hanya dibawa ke balai polis daerah untuk tujuan merekod.

"Kami hanya mencatatkan kenyataan mereka, mereka dibebaskan tanpa syarat pada sebelah petang," kata ketua polis Gerik Ismail Che Isa yang dipetik oleh The Star.

[Baca berita asal]

Lihat Komen