malaysiakini logo
story-image
ADS

Perhimpunan Agung Khas (EGM) Bersatu petang ini meluluskan usul bagi membolehkan pemilihan parti itu ditangguhkan selama 18 bulan bermula daripada tarikh sepatutnya ia diadakan.

Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir yang juga pengerusi jawatankuasa pindaan perlembagaan memaklumkan 79 daripada 80 pindaan dicadangkan berjaya diluluskan.

"Dengan kelulusan pindaan ini, EGM membenarkan Majlis Tertinggi parti untuk menangguhkan pemilihan selama 18 bulan dari tarikh terakhirnya.

"Sama ada kita akan menangguhkan sehingga 18 bulan adalah perkara lain," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Agung Khas, di Maeps, Serdang, petang ini.

Hadir sama Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi Bersatu dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, media melaporkan Bersatu mempertimbangkan untuk menangguhkan pemilihan kepimpinan partinya yang pertama.

Parti yang ditubuhkan pada September 2016 itu perlu memilih kepimpinannya setiap tiga tahun.

Fasal 13.3 perlembagaan parti menyatakan pemegang jawatan tertinggi dan jawatankuasa seramai 15 anggota mesti dipilih melalui perhimpunan agung tahunan parti pada setiap tiga tahun.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan menyatakan bahawa pemilihan Bersatu yang sepatutnya diadakan tahun ini, tidak akan ditangguhkan.

Beliau turut berpendapat pemilihan parti itu perlu diadakan lebih awal memandangkan kepemimpinan yang ada kini adalah dilantik.

Malah, beliau turut menegaskan pemimpin yang dipilih secara lantikan adalah sukar untuk mengembangkan parti itu.

Sistem satu undi satu ahli

Dalam pada itu Mukhriz berkata, melalui penangguhan itu Bersatu boleh mengadakan pemilihan parti sama ada hujung tahun ini ataupun selewat-lewatnya Jun tahun depan.

Mengulas mengenai 80 pindaan perlembagaan dikemukakan, Mukhriz menjelaskan ia termasuk pindaan dan cadangan penambahbaikan perlembagaan parti itu.

Ditanya mengenai satu usul pindaan yang tidak diluluskan, beliau enggan mengulas lanjut, sebaliknya hanya memaklumkan ia membabitkan soal keahlian.

"80 pindaan dibuat, ada yang dipinda dan ada tambahan kepada fasal-fasal tertentu dalam perlembagaan.

"Satu saja tidak dipersetujui (pindaan), tidak signifikan dan hanya masalah kecil soal keahlian," katanya.

Sementara itu Mukhriz berkata parti itu juga turut memperkenalkan sistem satu undi satu ahli membabitkan pemilihan di peringkat cawangan dan bahagian.

Bagaimanapun sistem itu tidak digunakan bagi pemilihan peringkat jawatankuasa MPT.

Lihat Komen