malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemangku pengerusi PKR P Pinang sokong Anwar
Diterbitkan:  Jul 20, 2019 6:37 PM
Dikemaskini: 10:37 AM
ADS

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang Muhammad Bakhtiar Wan Chik hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap presiden parti Anwar Ibrahim.

Menurutnya, beliau telah menandatangani surat sokongan terhadap Anwar semalam dan berharap pergeseran dalam PKR dapat diselesaikan dengan baik dan profesional.

"Saya juga tanda tangan (surat sokongan) tapi mereka adakan sidang media sebelum saya datang. 

"Saya juga tanda tangan sebagai tanda sokongan terhadap presiden untuk terus memimpin. 

"Saya sokong presiden...jangan risau. Siapa presiden saya, saya sokong tak kira siapa," katanya kepada pemberita, di Balik Pulau hari ini.

Terdahulu, Muhammad Bakhtiar yang juga timbalan menteri pelancongan, seni dan budaya melawat mural bermotifkan bunga lili, ikan laga dan figuratif di Flat Hijau, Flat Taman Seri Indah, Flat Lily dan Pekan Kongsi, di Balik Pulau hasil lakaran enam pelukis tempatan.

Semalam, enam pengerusi MPN PKR (gambar, bawah) menyatakan sokongan penuh terhadap Anwar pada mesyuarat pertama Majlis Pengerusi-Pengerusi Pimpinan Negeri.

Mereka ialah Pengerusi MPN Kedah, Johari Abdul; Pengerusi MPN Perlis, Amran Kamarudin; Pengerusi MPN Melaka, Halim Bachik; Pengerusi MPN Terengganu, Azan Ismail; Pengerusi Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan dan Pengerusi MPN Kelantan, Mohamad Supardi Md.

Muhammad Bakhtiar turut menasihatkan ahli dan pemimpin PKR supaya tidak terpengaruh dengan perkara-perkara yang boleh menjejaskan keutuhan parti itu.

"PKR merupakan komponen parti yang terbesar dalam Pakatan Harapan. Jikalau PKR rapuh, terbahagi kepada dua maka ia juga akan melemahkan Pakatan Harapan," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatannya itu, Ahli Parlimen Balik Pulau itu berkata pihaknya memilih pangsapuri kos rendah untuk melukis mural itu sebagai pendedahan kepada generasi muda untuk menimbulkan minat kepada seni.

Beliau berkata lukisan mural itu juga mampu menarik minat kepada orang ramai untuk berkunjung ke Balik Pulau sekali gus memperkenalkan kawasan itu di mata dunia.

"Tujuan utamanya untuk menceriakan Balik Pulau dan mengetegahkan pelukis-pelukis tempatan. Sebelum ini pelukis Rusia ada lukis empat mural di Balik Pulau. 

"Mural ini bila dah viral kita dapat memperkenalkan Balik Pulau kepada orang luar. Balik Pulau ini terlindung dengan bukit, jadi kita nak popularkan tempat ini," katanya.

- Bernama

Lihat Komen