malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wan Ji terkejut laporan polis terhadapnya
Diterbitkan:  Jul 20, 2019 4:31 PM
Dikemaskini: 8:31 AM
ADS

Pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin menafikan dakwaan yang menyifatkannya memfitnah pihak penjara berhubung dirinya dipukul ketika berada di Penjara Kajang.

Wan Ji turut menyatakan rasa terkejut selepas pihak penjara membuat laporan polis terhadapnya dan perkara itu sedang disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

"Semalam (19 Julai), saya diminta oleh pihak polis untuk hadir ke IPD Kajang untuk sempurnakan sesi siasatan.

"Tetapi, luar dari apa yang saya jangka, tiba-tiba saya dimaklumkan oleh pihak polis bahawa pihak penjara ada membuat laporan polis, menyebabkan pihak polis siasat saya.

"Tiba-tiba hari ini tersebar berita kononnya saya disyaki memfitnah. Ternyata dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

"Jika saya mahu memfitnah, sudah pasti saya tidak memberikan kerjasama penuh terhadap siasatan polis," katanya dalam kiriman Facebook hari ini.

Tambah Wan Ji, dia sebelum ini turut memberi kerjasama pada pihak polis dengan bersetuju menyerahkan telefonnya bagi tujuan siasatan.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmad mengesahkan pihak penjara telah membuat laporan terhadap Wan Ji.

Fadzil juga mengesahkan bahawa polis menyiasat pendakwah itu di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Wan Ji dipenjarakan pada 9 Julai lalu selepas rayuannya terhadap sabitan menghasut gagal, dalam kes menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mahkamah Tinggi Shah Alam juga meningkatkan hukuman penjara daripada 9 bulan kepada 12 bulan dan mengarahkan agar hukuman berkuat kuasa serta merta.

Wan Ji diarahkan menjalani hukuman pada hari itu, namun selepas tiga hari, iaitu pada 12 Julai, mahkamah bersetuju menangguhkan hukumannya sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan.

Wan Ji mendakwa ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang, salah seorang warden penjara memukulnya.

"(Dia suruh) Buka spek. Dah buka, tu bam bam, tiga kali dia bagi. Apa salah aku? (Warden) Yang lain gelak-gelak, bukan nak halang pun," katanya.

Susulan insiden tersebut, Wan Ji membuat satu laporan polis di IPD Dang Wangi pada 19 Julai, selain bersama Suaram menghantar memorandum kepada Suhakam.

Lihat Komen