Pengiklanan

    Pak belang dan katil hotel

    (Dikemaskini )

    PULASAN | Ada kemungkinan dua ekor pak belang yang muncul tiba-tiba di mukim Besol, Bukit Besi di Dungun, beberapa hari lalu itu sekadar mahu bergurau.

    Sukar menerima seekor haiwan liar yang sebegitu tidak mencederakan sesiapa.

    Ketika suatu masa dulu kita banyak mendengar kisah penoreh getah atau pekebun yang maut diterkam pak belang, di Besol haiwan yang menggerunkan itu sekadar menjilat-jilat penduduk kampung.

    Kemudian ia pun berjalan melilau ke sana-sini untuk kemudian salah seekor daripadanya ditangkap mudah.

    Berbanding jangkaan kebanyakan orang, harimau itu rasanya bukanlah terdesak mencari tempat untuk tinggal selepas habitatnya diperkosa oleh kerakusan manusia.

    Kemungkinan dia kebosanan di dalam hutan, justeru dia mencari sedikit hiburan di kawasan petempatan manusia. Menunjukkan perasaan gemuruhnya, maka haiwan itu tidak datang bersendirian.

    Ia datang berteman. Ia muncul berdua.

    Sejarah menyatakan Dungun ialah daerah paling maju di Terengganu suatu ketika dulu. 

    Penemuan bijih besi membawa kawasan itu dikenali ramai, termasuk di luar negara.

    Maknanya, Dungun ialah sejarah.

    Pak belang itu pula muncul ketika ramai orang - walaupun punya lah melugai - dipaksa membuang masa memikirkan tentang siapa yang berasmaradana di atas katil dalam bilik hotel di Sandakan itu.

    Berapa peratus yang ada

    Tidak cukup dengan itu, kita juga dipaksa oleh keadaan untuk menambah serabut fikiran bagi memikirkan siapa dalang di sebalik video jijik berkenaan.

    Jika itu belum memadai, lihat pula fakta ini: Tahap kemungkinan untuk video itu tulen adalah tinggi, namun tidak dapat dipastikan peratusannya.

    Pada masa sama pihak berkuasa tidak dapat mengaitkan individu yang dirakam itu dengan sesiapa pun yang dikaitkan dengan skandal tersebut.

    Sekali lagi, tidak dinyatakan berapa peratuskah kemungkinan untuk watak dalam rakaman itu boleh disamakan dengan sesiapa saja individu yang dikaitkan dengannya.

    Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, pihak CyberSecurity gagal mengesahkan identiti pelakunya setahap 100 peratus.

    Kata kuncinya ialah, bukan 100 peratus. Justeru, berapa peratus?

    Adakah analisis mengenai ketulenan video berkenaan mencapai tahap 100 peratus?

    Malaysia sebenarnya berhak berbangga kerana memiliki pasukan polis yang berdedikasi serta menguasai kemahiran tinggi dalam segenap bidang.

    Berapa banyak kes yang rumit dan serius mampu ditangani dengan jayanya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Maka, sama halnya dengan video yang menyebabkan rasa mahu muntah itu.

    Kita yakin PDRM memiliki kemampuan merungkai misteri yang ada di sebaliknya.

    Pada masa sama, kita pula sibuk menuding jari ke sana sini bagi memuaskan hati masing-masing. 

    Desakan naluri ingin tahu sering dikalahkan oleh emosi yang terburu-buru mahu membuat kesimpulan.

    Itu belum lagi kita mengambil kira pelbagai teori konspirasi yang tumbuh segar di sana sini, sama ada disengajakan dengan acuan khusus atau sebaliknya.

    Rimau, ringgit dan sen

    Kerana itu saya katakan, ada kemungkinan kemunculan pak belang di Dungun itu sekadar satu gurauan dari alam. Ia mahu menyapa kita supaya menoleh seketika ke belakang dan belajar dari sejarah.

    Kita semakin terbenam dalam kekalutan. Seolah-olah kerakusan yang sedia ada tidak memadai untuk membawa negara ini tenggelam dalam nasib malang berpanjangan.

    "Ini bila tular ni, pemburu harimau meleleh air liur sebab geram. Berbelas ribu harga seekor ni," kata rakan yang juga pencinta alam sekitar, Ubi Marchino.

    Dia memang dekat dengan hutan. Kebanyakan masanya dihabiskan dengan tumbuh-tumbuhan dan alam.

    Maka dia faham benar potensi ringgit dan sen yang ada pada tubuh harimau di Bukit Besi itu.

    Dalam keadaan akal manusia semakin dikuasai nafsu seperti sekarang, hampir semua objek yang dipandang oleh mata akan segera ditafsir dengan makna laba.

    Sama juga dengan katil dan cadar yang menjadi saksi dalam rakaman video di bilik hotel di Sandakan itu. Semuanya adalah tentang apa yang boleh membawa rugi, dan apa yang boleh membawa laba.

    Hentikan lelucon mengaitkan harimau dengan "hari-hari mau" itu. Ia jenaka yang sangat hambar sekarang. Malah kedudukan semasa kita hampir-hampir saja tidak boleh lagi berjenaka sembarangan.

    Apa yang diperlukan semua orang ialah "hari-hari mahu" nasib rakyat diberi perhatian. Dibela (baca dengan huruf 'e' taling) nasibnya, bukan dibela (dengan huruf 'e' pepet pula) dengan habuan wang ringgit.

    Para politikus pula, hentikan bercakaran demi menggapai pangkat dan kuasa. Rakyat sudah muak dengan kegelojohan sebegitu. Ingat - di luar lingkaran kamu, ada banyak pihak sedang memperelok topeng masing-masing sambil mengatur langkah menyusun bidak-bidak catur.

    Ruang dan peluang ada di depan mereka. Bodoh benarlah jika mereka enggan mengambil kesempatan. Itu pun sejenis kegelojohan yang memualkan juga.

    Dan rakyat sekarang - pada bila-bila masa - boleh bertukar menjadi 'harimau' ganas yang menunggu masa untuk menerkam.


    AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang selalu bercermin (mata), dan menjadikan aktiviti melihat burung sebagai hobi.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih