malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sokongan pada Dr M naik 7% di tengah kemelut dalam PKR
Diterbitkan:  Jul 20, 2019 2:39 PM
Dikemaskini: 6:47 AM
ADS

Sokongan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meningkat 7 peratus di tengah-tengah kemelut yang melanda PKR, kata badan penyelidik Merdeka Centre.

Kaji selidik bulanannya yang terbaru menunjukkan sokongan terhadap Dr Mahathir naik kepada 62 peratus pada Jun lalu berbanding 55 peratus bulan sebelumnya, lapor The Malaysian Insight.

Sokongan itu berada pada tahap paling rendah 46 peratus pada Mac.

Kaji selidik ke atas 961 responden itu turut menunjukkan peningkatan dari segi sentimen sokongan dalam kalangan pengundi Melayu dan Cina.

Bagaimanapun sokongan di kalangan pengundi India menunjukkan kemerosotan.

Sentimen pengundi Melayu dan Cina terhadap perdana menteri melonjak 16 mata kepada masing-masing 50 peratus dan 77 peratus.

Sentimen pengundi India pula jatuh daripada 80 peratus pada Mac 2019 kepada 74% bulan lalu.

Menurut Merdeka Centre, sokongan terhadap Dr Mahathir melonjak sejak Mac ketika tercetusnya pergeseran terbuka antara beliau dengan Istana Johor. 

Ia ditambah dengan pengakuan terbuka Dr Mahathir tentang kegagalan PH memenuhi janji pilihan raya.

Sokongan paling tinggi terhadap Dr Mahathir ialah 83 peratus iaitu pada Mei 2018, selepas beliau memimpin PH menang pilihan raya umum menumbangkan Barisan Nasional.

Lihat Komen