malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Umno, PAS masih bincang nama gabungan - Zahid
Diterbitkan:  Jul 20, 2019 1:45 PM
Dikemaskini: 6:00 AM
ADS

Nama khusus bagi gabungan Umno dan PAS masih di peringkat perbincangan, kata Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat dan akan diumumkan secara rasmi apabila tiba masanya, lapor Bernama.

"Kita harus bawa ke peringkat yang tertentu untuk kita muktamadkan (nama gabungan). 

"Biar ada majlis secara rasmi untuk umumkannya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri besar Kelantan yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS Ahmad Yakob di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan hari ini.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilapor berkata satu nama baru yang merujuk kepada penyatuan PAS dan Umno akan diperkenalkan selepas tandangan piagam dibuat.

“Pada dasarnya kita terima bahawa perlunya penjenamaan baru dan kita akan umumkan nanti.

“Akan ada majlis besar dengan suasana berbeza selepas piagam diputuskan.

“Penjenamaan ini juga akan melibatkan beberapa pihak lain termasuk NGO dan sebagainya,” Tuan Ibrahim dilaporkan sebagai berkata oleh Sinar Harian.

Ditanya mengenai agihan kerusi antara kedua-dua parti, Ahmad Zahid berkata ia masih terlalu awal untuk dibincangkan sehinggalah piagam antara kedua-dua parti ditandatangani.

"Terlalu awal (untuk bincang soal kerusi) kerana di peringkat 'taawun siyasi' (bertolong-tolong dalam perkara politik), ia adalah merupakan satu kerjasama dan ia telah dipahat dalam piagam yang akan kita tandatangani bersama,” katanya.

Lihat Komen