malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Video seks: Jangan heret pihak lain dalam konflik parti - IGP
Diterbitkan:  Jul 20, 2019 1:26 PM
Dikemaskini: 5:26 AM
ADS

Ketua Polis Negara Hamid Bador mengingatkan parti politik supaya tidak mengheret pihak lain dalam konflik dalaman mereka susulan isu video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri.

"Jangan bawa pergaduhan anda kepada orang ramai dan libatkan semua orang. Polis membazirkan masa dan sumber mereka untuk menyiasat perkara-perkara kecil seperti itu," katanya seperti dilapor The Star.

Abdul Hamid berkata polis banyak membuang masa apabila terpaksa menyiasat rakaman seks dua lelaki yang tersebar lebih sebulan lalu.

“Semua ini politik. Saya digesa dari hari pertama untuk sahkan ketulenan video.

“Sekarang selepas disahkan, saya dituduh buat kenyataan politik,” katanya.

Khamis lalu Abdul Hamid berkata analisis Cybersecurity Malaysia mendapati video seks berkenaan adalah tulen, namun proses pengecaman wajah adalah negatif.

Dua lagi tangkapan dilakukan di Shah Alam semalam menjadikan jumlah tangkapan setakat hari ini seramai 11 orang. Lima yang lain bagaimanapun telah dibebaskan.

Bulan lalu, video seks sejenis yang menampilkan dua lelaki disebarkan oleh individu tidak dikenali kepada ahli-ahli politik dan wartawan.

Selepas itu, bekas Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz tampil mendakwa beliau adalah lelaki dalam video itu dan mendakwa pasangannya adalah Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Azmin menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkan video itu sebagai fitnah dan cubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya. 

Beliau juga menyebut bahawa ia dilakukan oleh pihak dalam PKR sendiri.

Antara mereka yang ditahan ialah Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang juga setiausaha politik Anwar.

Lihat Komen