malaysiakini logo
story-image
ADS

Bekas guru bahasa Inggeris, Jaliah Ahmad Mahir bukanlah orang asing dalam politik PKR selepas 21 tahun bersama parti. 

Malah, beliau juga pernah menubuhkan cabang PKR yang terawal di Gombak.

Wanita berusia 72 tahun itu kini merupakan ketua wanita PKR Kuala Kangsar dan berkhidmat bersama Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, juga setiausaha politik kepada presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Ditanya pandangannya mengenai pertembungan antara Anwar dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, Jaliah meluahkan rasa sedihnya.

"Apa yang menyedihkan saya sekarang adalah bahawa pemimpin kita sepatutnya saling menghormati.

"Mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada ahli mengenai bagaimana menghormati antara satu sama lain.

"Ini satu perkara yang sangat menyedihkan, perkara ini perlu diubah, PKR perlu berubah," tegasnya.

Jaliah berkata Azmin yang juga anggota parlimen Gombak sepatutnya menunjukkan sikap lebih hormat kepada presiden dan menyelesaikan sebarang perbezaan antara mereka secara tertutup.

"Selepas bertahun-tahun berkorban wang ringgit, tenaga dan segala-galanya, YB Azmin boleh kata kepada Datuk Seri Anwar? "Cermin muka sendiri ' Ya Allah! Saya rasa sangat malu," kata Jaliah.

Beliau merujuk kepada jawapan Azmin terhadap kenyataan Anwar agar menteri hal ehwal ekonomi itu meletak jawatan jika video seks yang didakwa melibatkannya terbukti benar.

"Baca bibir saya - beritahu dia, dia mesti lihat lelaki itu di cermin," kata Azmin kepada wartawan di lobi parlimen Rabu lalu.

Walaupun menyedari Azmin mungkin marah dengan kenyataan Anwar, Jaliah berkata timbalan presiden PKR itu tetap tidak sepatutnya berkata sebegitu.

"Kalau kamu tak suka, kamu duduk semeja dan selesaikan. Kalau buat secara terbuka seluruh negara tengok" kata Jaliah.

Jaliah, bersama-sama 80 ahli PKR Perak yang diketuai timbalan ketua PKR Perak, MA Thinakaran berhimpun di luar balai polis Dang Wangi baru-baru ini bagi menyatakan sokongan terhadap Farhash yang ditahan berkaitan kontroversi video seks yang didakwa melibatkan Azmin.

"Kami tidak kata polis salah, mereka lakukan tugas mereka, tapi tolong bersikap adil kepada kami (penyokong)," katanya.

Beliau menambah ramai anggota PKR yang melihat Ketua Cabang PKR Kuala Kangsar itu seperti anak mereka.

Pada majlis temu rapat (retreat) kepimpinan PKR yang berlangsung di Port Dickson, Anwar dan Pengerusi Pakatan Harapan, Dr Mahathir Mohamad menyeru agar perbalahan dalam parti itu dihentikan.

Azmin tidak hadir semasa ucapan pembukaan Mahathir malam tadi tetapi dijadual berucap hari ini.

Persengketaan dan keretakan dalam PKR berlaku sejak sejak bertahun-tahun lalu membabitkan penyokong Anwar dan Azmin.

Keadaan itu bertambah buruk sejak bulan lalu, yang didorong spekulasi perebutan kuasa bagi jawatan perdana menteri antara kedua-duanya.

Lihat Komen