malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Adun DAP: Azmin perlu sedar dia tiada peluang jadi PM
Diterbitkan:  Jul 20, 2019 9:21 AM
Dikemaskini: 1:58 AM
ADS

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sepatutnya sedar bahawa beliau tidak berpeluang untuk menjadi perdana menteri berbanding Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu berkata majoriti dalam PKR, serta Amanah dan DAP menyokong Anwar sebagai perdana menteri yang akan datang.

Beliau menambah Anwar juga telah dipersetujui oleh Pakatan Harapan (PH) sebagai individu menggantikan Dr Mahathir Mohamad, walaupun Azmin dispekulasikan sebagai pemimpin kesayangan perdana menteri.

"Ini benar, Anwar mungkin bukan kegemaran Mahathir tetapi dia adalah pilihan PKR (sekurang-kurangnya majoriti dalam parti itu), DAP dan Amanah.

"Sekalipun beberapa ahli Bersatu dan PKR berada di belakang Azmin, mereka tetap tidak akan menjadi majoriti dalam Pakatan.

"Oleh itu, saya tidak fikir Azmin mempunyai peluang untuk menjadi perdana menteri," katanya dalam satu kenyataan.

Liu berkata, Bersatu mungkin kuat jika berlaku penghijrahan beramai-ramai dari Umno dan PAS bagi membolehkan mereka menyokong Azmin, namun perkara itu tidak akan berlaku dalam masa terdekat.

Anggota Parlimen DAP itu berkata Mahathir harus melenyapkan sebarang ketidakpastian dengan menetapkan garis masa untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar.

"Ia tidak cukup untuk mengatakan bahawa dia akan lakukannya. Dia perlu memberikan garis masa yang tepat.

"Sebaik sahaja garis masa yang ditetapkan diumumkan, dan segalanya tiba-tiba menjadi lebih konkrit, kita harus melihat berakhirnya perang dalam PKR," katanya.

Liu berkata, kestabilan dalam PKR adalah penting untuk memastikan kestabilan dalam PH sendiri.

"Ini juga akan membantu untuk memastikan bahawa BN tidak akan kembali berkuasa pada pilihan raya akan datang," katanya.

Perbalahan antara Anwar dan Azmin semakin ketara berikutan video seks yang tersebar membabitkan menteri hal ehwal ekonomi itu.

Anwar berkata Azmin harus meletakkan jawatan jika video seks tersebut terbukti benar.

Bagaimanapun penyokong Azmin pula mendakwa kumpulan Anwar terlibat dalam penghasilan video itu.

Lihat Komen