malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN | Setelah 62 tahun merdeka, sejarah dicipta oleh sebuah kerajaan yang baru berusia setahun di negara ini pada Selasa lepas.

Kerajaan ini, yang sering disindir dan diberi gelaran kerajaan sepenggal berjaya membuat 211 ahli yang berhormat mengenepikan perbezaan ideologi politik untuk meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Perkara ini tidak dilakukan oleh kerajaan BN sejak mereka kehilangan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat pada tahun 2008.

Dan pindaan perlembagaan ini, memetik kata mantan perdana menteri keenam Malaysia, “bukan biashe-biashe”.

Ia memberi hak kepada rakyat Malaysia untuk mengundi dan menjadi calon wakil rakyat pada usia 18 tahun. Bukan itu sahaja, pendaftaran sebagai pengundi juga akan dilakukan secara automatik.

Sidang parlimen, gambar hiasan

Dalam erti kata lain, tiga pindaan ke atas perlembagaan kita telah berjaya dilakukan dalam sesi parlimen kali ini.

Meskipun terdapat suara yang mengatakan usia 18 tahun masih tidak sesuai untuk mengundi kerana belum matang, mudah terpengaruh dan sebagainya, pada saya alasan-alasan itu tidaklah tepat.

Kematangan tidak diukur dengan usia; ada yang dah tiga empat kali mengundi pun masih mudah terpengaruh dan ada yang dah tiga empat kali menjadi wakil rakyat pun masih belum matang (contoh ini boleh dilihat setiap kali parlimen bersidang).

Tetapi satu hal yang pasti ialah pemenang PRU ke15 nanti akan ditentukan oleh undi daripada golongan muda dan pemenang itu boleh diketahui sekiranya mereka berjaya menyelesaikan 3P iaitu:

  • PTPTN
  • Pengangguran
  • Pendapatan

211 undian

Tiga isu ini adalah isu utama dalam dunia anak-anak muda sekarang ini. Berjaya selesaikan isu ini, maka parti itu akan memenangi PRU akan datang.

Tak cukup rasanya kalau saya nak cerita 3P ini dalam penulisan sekarang jadi kita simpan untuk perbincangan dalam minggu mendatang.

Kejayaan memperoleh 211 undian dalam pindaan ini tidak bermakna sekiranya rakyat Malaysia tidak keluar mengundi.

Tak guna buat pendaftaran automatik dan bagi hak mengundi kepada mereka yang berusia 18 tahun jika mereka tidak menyedari kepentingan dan nilai undian mereka kepada negara.

Justeru, literasi politik perlu dilakukan dan ia bukanlah sekadar memberi kesedaran tentang isu-isu semasa dan siapa yang lebih “rempit” di media sosial; literasi politik adalah memberi penekanan terhadap hak-hak seseorang sebagai pengundi dan menambahbaik proses pengundian sewaktu hari mengundi kelak.

Petugas SPR dalam sebuah pilihan raya kecil, gambar hiasan

Dalam hal ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memainkan peranan yang penting sebagai satu badan bebas untuk mengembangkan literasi politik dalam negara ini.

Tidak dapat dinafikan, kejayaan memperoleh 211 undian ini tidak akan terhasil jika pihak pembangkang tidak menyokong. Justeru, ia satu sejarah kerana buat pertama kalinya ahli-ahli yang berhormat kita mengambil jalan bipartisan untuk meluluskan pindaan ini.

Dan keberhasilan ini tidak akan tercipta tanpa usaha yang sesungguhnya daripada pihak kerajaan sendiri terutamanya daripada YAB perdana menteri dan menteri belia dan sukan.

Meskipun ada pendekatan yang diambil dalam usaha mendapatkan majoriti dua pertiga itu tidak dipersetujui oleh saya secara peribadi, tetapi mereka telah membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil untuk dilakukan dalam era Malaysia baharu ini.

Ini adalah sesuatu yang tidak dirasai oleh rakyat semasa era pentadbiran kerajaan BN apabila hampir semua tindakan dan perbuatannya boleh diagak, dijangka dan dicongak dengan mudah macam skrip drama Melayu masa kini.

Kejayaan mendapatkan majoriti dua pertiga secara bipartisan untuk membolehkan rakyat Malaysia mengundi pada usia 18 tahun adalah satu fakta dan sejarah yang tidak akan dilupakan dalam negara ini.

Kejayaan ini berhasil daripada keberanian rakyat yang mengimpikan perubahan pada 9 Mei 2018 dan diterjemahkan pada 16 Julai 2019.

Biarpun kerajaan Pakatan Harapan ini nantinya benar-benar menjadi kerajaan sepenggal, tetapi rakyat semuanya akan ingat bahawa kerajaan sepenggal inilah yang berjaya melakukan perubahan dalam sistem pilihan raya di negara ini.

Maka ia menjadi satu legasi kerajaan sepenggal ini yang akan diingati dari satu generasi ke satu generasi yang lain!

Nota kaki: Dalam kita bergembira pindaan ini berjaya dilakukan, janganlah kita lupa nama-nama ahli yang berhormat yang tidak hadir untuk mengundi pindaan ini.

Doakan saja mereka berjaya meraih undi pengundi 18 tahun dalam PRU akan datang.

  1. YB Temerloh

  2. YB Kuala Pilah

  3. YB Lipis

  4. YB Putrajaya

  5. YB Padang Besar

  6. YB Santubong

  7. YB Tanjong Manis

  8. YB Bintulu

  9. YB Kimanis

  10. YB Bukit Gantang

  11. YB Kapit



ZHARIF BADRUL ialah seorang graduan undang-undang yang telah didaftarkan sebagai peguam cara dan peguam bela, aktivis politik, penulis novel dan berkicau ikut keperluan di Twitternya @zharifbadrul6.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen