malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wan Ji harap penjara tekankan nilai keislaman
ADS

WAWANCARA | Tiga hari di penjara, pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin melihat institusi penjara di Malaysia perlu meningkatkan penekanan terhadap aspek keislaman.

Dia mengambil aspek penjagaan aurat sebagai contoh yang menurutnya tidak begitu menjadi perhatian di sana.

Wan Ji mendakwa para banduan di ruangan yang tidak berpintu di bilik mandi, sehingga dia sendiri terpaksa menggunakan kain selimut untuk melindungi badannya daripada dilihat orang lain.

"Tak ada (ditekankan aspek aurat). Contoh ketika nak mandi, saya ambil selimut untuk tutup pintu. Tapi banduan lain selamba saja dan orang lalu-lalang tengok.

"Bahkan mereka jadi biasa tak berpakaian. Itu berlaku dalam penjara dan saya rasa tak betul," katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini Selasa lalu.

Ia beberapa - iaitu pada 12 Julai lalu - selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menerima permohonan untuk menangguhkan hukuman penjara setahunnya atas kesalahan mengikut Akta Hasutan 1948.

Tiga hari sebelumnya, dia mula menjalani hukuman itu selepas mahkamah menolak rayuan terhadap sabitan yang dibuat pada 2014.

Wan Ji juga mendakwa tiada dinding yang memisahkan antara tempat membuang air.

"Tandas tak ada dinding. Jadi kalau mereka nak buang air ke apa, pakat tengok macam tu sajalah. Sekurang-kurangnya tutuplah sikit supaya orang lain tak nampak kemaluan," katanya lagi.

Bagaimanapun dia berkata dirinya sedikit beruntung apabila ditempatkan di sel invidividu, berbanding sesetengah banduan lain yang terpaksa berkongsi sel dengan lima yang lain.

Selain aspek aurat, bekas anggota jawatankuasa Dewan Ulama PAS itu juga berkata tiada makluman waktu sembahyang untuk banduan beragama Islam.

"Mungkin perlu diberitahu bila masuk waktu sembahyang. Saya sampai tak tahu bila Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak, jadi kena tanya (wardern setiap kali).

"Pihak penjara perlu memudahkan orang Islam yang dihukum penjara untuk sembahyang," katanya.

Jakim jangan ceramah saja

Pada masa sama Wan Ji tetap memuji pihak penjara yang tidak meninggalkan aspek kerohanian dengan bekerjsama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengadakan sesi kuliah agama dengan banduan.

Bagaimanapun dia berpandangan itu saja tidak memadai kerana dakwah perlu melangkaui program ceramah.

"Adakan pendekatan lebih berhikmah, mungkin duduk bersama dengan pesalah, makan dengan mereka," katanya lagi.

Dia malah menawarkan dirinya untuk mengadakan program dakwah bersama banduan selepas ini.

Terdahulu, ustaz kelahiran Kelantan itu mendakwa dia ditumbuk oleh seorang warden sebanyak tiga kali, sebaik saja beliau memberitahu namanya kepada warden tersebut.

Namun ada juga aspek positif sepanjang tiga hari dia menjalani hukuman, antaranya mempunyai masa lapang untuk menghafaz al-Quran.

Membandingkan rutin itu seperti ketika belajar di sekolah tahfiz pada masa dulu, Wan Ji berkata dia berjaya menghafal tiga juzu' al-Quran sepanjang tiga hari di Penjara Kajang.

Lihat Komen