malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Jangan biarkan isu dalaman PKR jangkiti PH
ADS

ULASAN l Ada dua isu berlainan, tetapi kait mengait yang menyuburkan imaginasi orang ramai kebelakangan ini.

Pertama, bahas yang berterusan mengenai peralihan kuasa daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim.

Kedua, skandal filem homoseksual yang melibatkan seorang penggiat muda PKR dan “seorang yang tidak dapat dicamkan” yang dikatakan pemimpin kanan PKR dan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kedua-dua isu itu memberi kesan kepada PKR, khasnya dan PH, amnya.

Sepatutnya isu peralihan kuasa ini tidak timbul atau ditimbulkan manakala skandal filem homoseksual tidak berlaku.

Isu pertama telah diputuskan dan dihebahkan kepada umum dalam Konvensyen PH di Shah Alam pada 7 Januari 2018, iaitu:

• Dr Mahathir calon perdana menteri;

• Dr Wan Azizah Wan Ismail calon timbalan perdana menteri;

• Anwar perdana menteri ke-8 dengan kefahaman bahawa Dr Mahathir dan Anwar akan berkongsi penggal ini (2018-2023) sebagai perdana menteri.

Itulah alasan yang menunjangi hujah saya di majlis diskusi buku karya blogger Shahbuddin Husin - “Anwar PM ke-8” - di Shah Alam 17 Julai lalu bahawa Anwar akan ambil alih sebagai perdana menteri.

Isu memihak atau memilih kasih tidak timbul. Ini adalah realiti hitam-putih.

Masalahnya adalah, Dr Mahathir baru melalui 14 bulan daripada tempoh itu, tetapi sudah ada orang yang tidak sabar sehingga secara terbuka dan kasar menuntut beliau menetapkan masa bila Anwar akan mengambil alih.

Majlis Presiden PH

Isu peralihan kuasa ini boleh berubah hanya jika Majlis Presiden PH berubah selera.

Itu pun mereka masih terikat dengan janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 yang telah disokong oleh majoriti pengundi.

Buat masa ini, yang wajib Majlis Presiden PH beri perhatian adalah memastikan pertelingkahan dalam PKR tidak merebak sehingga menjangkiti PH.

Dalam konteks itu, saya mengiktiraf pendirian Dr Mahathir tidak masuk campur hal dalaman PKR.

Begitu juga dengan sentimen Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang menaruh harapan agar isu skandal seks PKR itu reda demi keutuhan keseluruhan PH.

Rakyat jelata sudah mula jemu dengan berita, peristiwa dan tindak-tanduk pemimpin PH yang tidak menguntungkan sebaliknya menyusahkan mereka.

Pemimpin PH sepatutnya ingat bahawa mereka diberi mandat oleh rakyat jelata tidak lain tidak bukan untuk mentadbir negara dengan lebih baik daripada sebelum ini.

Siasatan polis

Berkenaan siasatan polis terhadap video homoseksual itu pula, kenyataan mengenainya yang dirujukkan kepada Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, semalam menjadikannya lebih misteri dan menyuburkan imaginasi.

Saya tidak menyalahkan orang ramai jika mereka tidak boleh berhenti di situ saja dengan menelan bulat-bulat kenyataan pihak polis mengenainya.

Ini adalah kerana seorang daripada dua pelakon dalam video Sandakan itu telah tampil ke hadapan dan menyatakan siapa seorang lagi yang bercumbu-cumbuan dengannya.

Malah dia sanggup masuk lokap kerana mempertahankan dakwaannya.

Kenyataan Abdul Hamid itu membuka ruang kepada beberapa kemungkinan:

• Mengenakan tuduhan jenayah ke atas orang atau orang-orang yang melakukan hubungan seks songsang dalam video tersebut;

• Mengenakan tuduhan jenayah ke atas orang atau orang-orang yang menyiar dan/atau mengedarkan video lucah itu; dan

• Orang atau orang-orang yang berasa mereka telah diaibkan boleh mengambil tindakan sivil melalui saman malu.

Pemimpin PH tidak boleh tunggu sehingga rakyat jelata jelak dengan kelakuan mereka dan pelabur hilang keyakinan kepada negara kita.

Pelabur mahukan kesahihan bahawa peralihan kuasa akan berlaku dengan lancar dan dasar serta program yang dipersetuji diteruskan tidak kira siapa menjadi Perdana Menteri.

Kalau tidak boleh juga, berhentilah. Jangan jadi nila setitik yang merosakkan susu sebelanga.

Berkenaan seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit, itu perkara biasa. Kerbau suka berkubang. Jadi dipalit lumpur adalah perkara biasa. Tetapi kita bukan kerbau. Kita manusia.


DATUK A KADIR JASIN adalah bekas ketua pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd. Beliau kini bergiat dalam Bersatu sebagai pimpinan pusat parti itu.

Tulisan ini asalnya disiarkan di blog beliau dengan tajuk yang sama. Pandangan penulis tidak semesti mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen