malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Azmin buat majlis kesyukuran Ahad ini
Diterbitkan:  Jul 19, 2019 4:58 PM
Dikemaskini: 11:35 AM
ADS

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali akan mengadakan majlis doa kesyukuran di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor pada Ahad ini.

Jemputan program itu hadir beberapa hari selepas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendedahkan perkembangan siasatan berhubung kes video seks yang dikaitkan dengan Azmin.

Dijadualkan bermula pada 7.00 petang, aturcara majlis termasuklah solat hajat "buat kesejahteraan seluruh pimpinan dan masyarakat agar dijauhkan dari bahana fitnah durjana".

Menurut seorang pembantu kepada Menteri Besar Selangor, yang mengesahkan jemputan itu, program itu dianjurkan oleh setiausaha politik Azmin, Hilman Idham.

"Seluruh pimpinan dan anggota, serta semua rakyat yang menolak fitnah dipersilakan dan dijemput hadir bersama," kata jemputan itu.

Bagaimanapun, tidak dapat disahkan jika acara itu diadakan sempena perkembangan siasatan polis berhubung kes video seks yang dikaitkan dengan Azmin.

Khamis lalu, ketua polis negara mengesahkan ketulenan klip video seks yang dikaitkan dengan Azmin dan bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Abdul Hamid bagaimanapun menambah bahawa hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) adalah "negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan".

Setakat ini, polis telah menahan lapan individu berhubung dengan sisatan video itu, termasuk Haziq dan pembantu politik Anwar, Farhash Wafa Salvador.

Haziq sebelum ini mendakwa klip video itu dirakamkan di bilik hotel Azmin di Sandakan, Sabah, dua bulan lalu.

Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, menyifatkan video itu sebagai cubaan jahat untuk merosakkan kerjaya politiknya.

12 pemimpin cabang PKR Johor sambut baik kenyataan IGP

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, sekumpulan 12 pemimpin PKR Johor hari ini mengeluarkan kenyataan mengalu-alukan kenyataan ketua polis negara berhubung siasatan kes berkenaan.

Antara yang menandatangani kenyataan itu ialah: Rashid Hasnon (Ketua Cabang Batu Pahat) ; Dr Chong Fat Full (Ketua Cabang Ledang); Steven Choong (Ketua Cabang Tebrau); Sivarajah (Ketua Cabang Segamat); Mark Mathew (Ketua Cabang Kluang); Mohd Bakri Said (Ketua Cabang Sri Gading); Ronald Sia (Ketua Cabang Pontian); Pang Yock Tong (Ketua Cabang Labis); Yogeswaran Subramaniam (Ketua Cabang Iskandar Puteri); Subramani Chami (Ketua Cabang Pagoh); Rahamizon Abdul Ghani (Ketua Wanita PKR Johor); Nur Khairul Ain Abd Samat (Ketua Srikandi PKR Johor).

Kumpulan itu berkata mereka juga terkejut apabila mengetahui bahawa beberapa orang telah ditangkap berhubung klip video itu, dan menggesa Presiden PKR Anwar Ibrahim mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli yang didapati terlibat.

Kami berdoa bahawa episod ini dapat ditutup dengan baik pada masa yang terdekat dengan tindakan yang sewajarnya dikenakan terhadap mereka yang terbabit," kata kenyataan itu.

Kumpulan itu juga menyatakan sokongan mereka kepada kenyataan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan 28 pemimpin parti lain yang meminta Anwar untuk menyatukan anggota parti.

Lihat Komen