malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hassan Karim letak jawatan pengerusi PKR Johor
ADS

Hassan Karim dikatakan meletakkan jawatan sebagai pengerusi PKR Johor pada Jumaat lalu.

Meskipun perkembangan itu berlaku ketika media hangat melaporkan pertembungan antara dua pemimpin tertinggi PKR - Anwar Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali - sumber menafikan peletakan jawatan Hassan mempunyai kaitan dengan pergolakan dalaman.

“Beliau (Hassan)  telah menghantar surat kepada Anwar pada 12 Julai. Tetapi kes ini memang tidak berkaitan dengan perbalahan parti,” kata sumber kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, sumber enggan mengulas lanjut.

Hassan juga tidak dilihat hadir ke mesyuarat pengerusi-pengerusi PKR negeri di ibu pejabat PKR pada pagi ini.

Mesyuarat berkenaan menyaksikan enam pengerusi PKR negeri tampil menyokong kepimpinan Anwar.

Pada bulan Disember tahun lepas, Hassan menolak pelantikan pengerusi PKR Johor kerana menurutnya terdapat pihak yang mempertikaikan pelantikannya.

Tetapi beliau kembali menggalas tugas berkenaan.

Perselisihan antara Anwar dan Azmin menjadi tumpuan selepas isu klip video seks yang didakwa melibatakan Azmin tersebar.

Setakat ini, polis telah menahan lapan individu berhubung dengan sisatan video itu, termasuk Haziq dan pembantu politik Anwar, Farhash Wafa Salvador.

Semalam, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, siasatan pihaknya medapati wujud "pakatan jahat" yang didalangi oleh pemimpin sebuah parti politik.

Ia, katanya, bertujuan mengaib dan menjatuhkan individu tertentu, selain dihasilkan oleh pihak yang diupah dengan ratusan ribu ringgit.

Lihat Komen