malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kes Ku Nan: Pegawai SPRM gagal cari rekod sumbangan RM2 juta
ADS

KES KU NAN | Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merampas buku resit rasmi Umno memberi keterangan bahawa beliau tidak menemui sebarang rekod sumbangan RM2 juta yang didakwa diperoleh parti itu pada 2016.

Ketika perbicaraan rasuah terhadap Tengku Adnan Tengku Mansor pagi ini, Nik Muhammad Faiez Idrus berkata beliau merampas buku itu dari ibu pejabat parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 18 Julai .

Terdahulu awal pagi ini Pengarah Urusan Aset Kayamas Sdn Bhd, Chai Kin Kong menunjukkan kepada mahkamah resit asal yang didakwa beliau diterima daripada Tengku Adnan sendiri untuk cek bernilai RM2 juta.

Disoal Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim, Faiez (gambar) memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa salinan resit yang berkenaan tidak dijumpai di dalam buku resit rasmi Umno.

Julia: Adakah kamu cari salinan karbon untuk resit yang telah dikemukakan sebagai bukti sebelum ini?

Faiez: Tiada salinan karbon untuk resit itu.

Buku berkenaan kemudian dikemukakan sebagai bukti.

Chai memberi keterangan bahawa wang itu adalah bagi kempen Umno pada Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016, dan resit bagi cek berkenaan mempunyai tandatangan Tengku Adnan.

Terdahulu, Hakim Mohd Zaini Mazlan membenarkan Julia memanggil Faiez sebagai saksi selepas mempertimbangkan permohonan peguam utama Tan Hock Guan agar pemeriksaan utama dan pemeriksaan balas ditangguhkan.

Tan berkata, pasukannya perlu untuk memeriksa dengan teliti buku resit rasmi Umno - yang merupakan bukti baru - sebelum mereka boleh meneruskan.

Julia, sementara itu, menegaskan tidak ada keperluan untuk melambatkan pemeriksaan utama kerana pihak pembelaan akan dapat meneliti buku itu selepas ia dikemukakan kepada mahkamah dalam masa tarikh perbicaraan akan datang.

Beliau berkata, pihak pendakwaan tidak menjangka bukti baru yang disampaikan oleh Chai dan dibenarkan untuk dijadikan dokumen walaupun perbicaraan sedang berjalan.

Mohd Zaini memutuskan bahawa pemeriksaan utama itu boleh dijalankan hari ini.

"Memandangkan kes itu dijadualkan bersambung pada 1 Ogos dan 2 Ogos, pasukan pembelaan akan diberikan masa yang mencukupi untuk mempertimbangkan dokumen itu selepas ia dikemukakan dan ini akan membolehkan ia bersedia untuk pemeriksaan balas.

"Fakta bahawa dokumen itu akan berada dalam jagaan yang selamat bagi mahkamah bermaksud ia adalah lebih selesa (bagi pihakpembelaan)," katanya

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan menghadapi perbicaraan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima RM2 juta daripada Chai pada 14 Jun 2016 selaku penjawat awam.

Wang itu didakwa didepositkan ke akaun CIMB milik Tadmansori Holdings, di mana Tengku Adnan merupakan pemegang saham utama.

Aset Kayamas menjalankan pembangunan hartanah dan berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ketika Tengku Adnan menjadi menteri.

Jika sabit kesalahan, bekas menteri itu menghadapi hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Lihat Komen