malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MB Selangor mahu dalang video seks dikenakan tindakan
Diterbitkan:  Jul 19, 2019 11:37 AM
Dikemaskini: 3:37 AM
ADS

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang adalah penyokong tegar Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang dikaitkan dengan sebuah video seks membabitkan seorang lelaki lain mahu dalang dan individu yang terlibat dalam pembikinan dan pengedaran video itu dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Katanya, tanpa mengira kedudukan dan status individu berkenaan, tiada sesiapa boleh terlepas daripada tindakan undang-undang di negara ini.

"No man is above the law in this country,” kata Amirudin yang juga adalah pengerusi Pakatan Harapan Selangor, ketika mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador bahawa wujud pakatan jahat yang didalangi oleh seorang pemimpin sebuah parti politik dalam kes pengedaran video seks berkenaan.

"Bagaimanapun, keadilan juga harus diberikan kepada dia (yang dituduh) peluang untuk membela diri dan sebagainya jika dia percaya dia tidak melakukan kesalahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Anak Istimewa Selangor di Shah Alam, malam semalam.

Semalam Abdul Hamid dilaporkan berkata hasil siasatan polis terhadap kes video seks berkenaan mendapati wujud pakatan jahat yang didalangi oleh seorang pemimpin sebuah parti politik bertujuan mengaib dan menjatuhkan reputasi individu tertentu

Ketika ditanya mengenai hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) terhadap individu dalam video itu adalah negatif, Amirudin berkata beliau bersyukur berikutan isu itu sudah terlerai.

"Alhamdulillah, semua dah terlerai, dan jangan kita sambung cerita macam ini, we should move on (kita perlu bergerak) ke hadapan," katanya yang dipetik Bernama.

Tambah Amirudin mereka yang terlibat dalam pembikinan video berkenaan adalah ketinggalan zaman kerana rakyat telah lama menolak perbuatan politik kotor sedemikian.

Abdul Hamid dalam kenyataan yang sama semalam turut berkata hasil analisis CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity) terhadap video seks berkenaan mendapati kebarangkalian video itu tulen adalah tinggi, bagaimanapun, hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku dalam video itu dengan individu yang dimaksudkan.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki, tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.

Setakat ini lapan orang termasuk Haziq Abdullah telah ditahan bagi membantu siasatan kes video itu.

Lihat Komen