malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Perarakan libatkan LGBT: Timb menteri boleh kelirukan orang ramai - PAS
Diterbitkan:  Jul 19, 2019 11:01 AM
Dikemaskini: 3:09 AM
ADS

PAS menggesa timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin menarik balik jawapannya di parlimen yang mengatakan perarakan Hari Wanita pada 9 Mac lalu yang disertai aktivis LGBT tidak bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata jawapan itu bercanggah kenyataan asal Ketua Polis Daerah Dang Wangi yang mengatakan tiada permit dikeluarkan bagi perhimpunan itu berikutan notis dikemukakan kepada polis kurang 10 hari.

Menurutnya, Hanipa sepatutnya merujuk kepada Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman (APA) yang berkaitan sekatan-sekatan dan syarat-syarat perhimpunan. 

"Saya mendesak supaya jawapan timbalan menteri ditarik balik kerana ia bercanggah dengan peruntukan undang-undang dan kenyataan polis. Jawapan tersebut dilihat tidak menjawab isu sebenar dan boleh mengelirukan orang ramai.

"Golongan LGBT perlu dirawat dan tidak dibiarkan terus berleluasa sehingga boleh menjejaskan kemaslahatan awam. Ia juga selaras dengan penegasan YAB Perdana Menteri yang menolak sekeras-kerasnya budaya songsang LGBT diamalkan di negara ini," kata Tuan Ibrahim dalam kenyataan.

Hanipa pada 17 Julai lalu berkata perarakan yang melibatkan sekumpulan aktivis LGBT semasa Himpunan Hari Wanita lalu tidak bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 10 perlembagaan merujuk kepada semua warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.

Hanipa berkata demikian bagi menjawab soalan dari Anggota Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff yang bertanya mengenai sebab siasatan kes tersebut dihentikan oleh pihak polis dan diklasifikasikan sebagai NFA (Tiada Tindakan Lanjut).

Hanipa turut memaklumkan himpunan tersebut mematuhi sub seksyen 9 (1) APA yang mana pemberitahuan perhimpunan dilakukan 10 hari sebelum tarikh berhimpun.

Menurut Hanipa pihak Peguam Negara juga tidak mempunyai sebarang kuasa di bawah mana-mana undang-undang untuk mendakwa perbuatan yang bercanggah dengan Islam.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan tidak seharusnya menjejaskan kepentingan awam dan bercanggah dengan prinsip moral.

"YB menteri agama juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa himpunan mempertahankan hak LGBT telah menyalahgunakan ruang demokrasi dan tindakan tegas ke atas mereka mesti diambil," tegasnya.

Menteri hal ehwal Islam, Mujahid Yusof pada 9 Mac lalu berkata perarakan yang disertai aktivis LGBT itu merupakan salah guna ruang demokrasi.



Lihat Komen