malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah benar RM48 juta milik bapa Jho Low dilucut hak kepada k'jaan
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan pelucuthakan lebih RM48 juta daripada akaun bank Larry Low Hock Peng, bapa ahli perniagaan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, Low Taek Jho.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Aaron Chelliah selepas tidak ada pihak ketiga tampil untuk menuntut aset berkenaan.

Larry tidak hadir pada prosiding mahkamah pagi ini walaupun waran tangkap dikeluarkan terhadap beliau.

Pada 19 April, mahkamah menetapkan notis tiga bulan untuk mana-mana pihak ketiga yang ingin menuntut harta berkenaan. 

Pada tarikh tersebut, Zaini menetapkan hari ini untuk mana-mana pihak ketiga menghadiri prosiding dan mencabar saman pelucuthakan yang melibatkan lebih daripada RM48 juta dari akaun bank Larry.

Sebelum ini, The Edge Markets melaporkan wang berkenaan yang telah dibekukan dan telah dilucuthakkan berasal dari 1MDB.

Terdahulu semasa prosiding pagi ini, DPP Aaron Chelliah memaklumkan Zaini bahawa tidak ada pihak ketiga hadir di mahkamah hari ini walaupun notis  dikeluarkan pada 17 Jun mengikut Seksyen 61 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA).

"Tidak ada pihak ketiga yang datang hari ini, pemohon (kerajaan) memohon aset yang dinyatakan dalam notis itu akan dilucuthak kepada kerajaan seperti dinyatakan notis.

"Seperti yang dikemukakan sebelum ini (prosiding terdahulu), pemohon menganggap responden (Larry) sebagai orang yang melarikan diri di bawah Seksyen 63 AMLATFA.

"Sebelum ini, pemohon telah memfailkan afidavit atas usaha untuk mengesan responden. Antara usaha yang dilakukan adalah untuk menerbitkan (notis kepada Larry) di akhbar bagi pengetahuan umum.

"Waran penahanan telah dikeluarkan tetapi pihak berkuasa tidak dapat mencari responden sehingga kini," katanya.

Peruntukan tersebut menyatakan seseorang boleh dianggap telah disabitkan dengan suatu kesalahan berat jika melarikan diri berkaitan kesalahan serius di bawah akta berkenaan.

Sehubungan itu hakim mengarahkan wang berkenaan dilucuthak kepada kerajaan Malaysia.

Ketika ditemui selepas prosiding, Chelliah berkata pihak berkuasa tidak dapat mengesan Larry.

"Tiada siapa yang tahu di mana dia berada. Tiada kenyataan daripadanya,"kata Chelliah.

Sementara itu dalam prosiding berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 27 Sept untuk mana-mana pihak ketiga datang ke mahkamah dan membuat tuntutan berhubung RM677,872.55 berkaitan saman 1MDB terhadap BN Johor.

Perkara itu disahkan oleh DPP Allan Suman Pillai selepas pengurusan kes di mahkamah pagi ini.

"Mahkamah menetapkan 27 Sept 2019 untuk notis pihak ketiga," kata Pillai.

DPP berkata Nazlan juga menetapkan 20 Ogos untuk BN Johor selaku responden memfailkan afidavit jawapan, dan bagi pihak pendakwaan memfailkan jawapan kepada afidavit responden sebelum 27 Sept.

Pada 2 Julai, pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mahyudin Mohd Som menetapkan hari ini untuk mendengar permohonan pendakwaan untuk membuat notis pihak ketiga dalam saman 1MDB terhadap BN Johor.

Pada 21 Jun, ketua pesuruhjaya SPRM yang baru Latheefa Koya mengumumkan bahawa saman fitnah telah difailkan terhadap Umno dan 40 entiti lain untuk mendapatkan lebih RM270 juta dana yang dikaitkan dengan 1MDB.

Daripada jumlah itu, lebih RM 212 juta dikehendaki daripada Umno.

Lihat Komen