malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP Sarawak mahu jumpa ketua SPRM bincang kes Taib
ADS

Anggota Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berhasrat bertemu ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya bagi membincangkan kemungkinan membuka kertas siasatan terhadap Abdul Taib Mahmud.

Yii berkata pihaknya mahu bertemu SPRM walaupun menerima jawapan 'kitar semula' bahawa siasatan terhadap bekas ketua menteri Sarawak itu tidak akan diteruskan.

Rabu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata SPRM tidak menerima bukti baru untuk memulakan siasatan terhadap Taib.

Menjawab satu soalan oleh Yii, Liew berkata maklumat yang diterima daripada Sarawak Report dan NGO alam sekitar Bruno Manser Fund sama seperti siasatan sebelum ini.

Ketika ditanya mengenai jawapan Liew, Yii berkata sebelum ini sebanyak 15 kertas siasatan SPRM telah ditutup oleh bekas peguam negara Abdul Gani Patail.

"Jadi hujah saya hanya kerana dia (Gani) memutuskan untuk tidak mendakwa (Taib), itu tidak bermakna tidak ada asas (untuk menyiasat semula).

"... Ini adalah jawapan yang saya terima beberapa kali, ini adalah jawapan kitar semula," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.

Justeru itu, Yii berkata beliau mahu bertemu Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri.

"Tetapi saya tidak akan mendedahkan (tarikh) pertemuan. Saya akan bercakap dengan ketua SPRM baru dalam menjalankan siasatan baru," katanya.

Yii juga menggesa Peguam Negara Tommy Thomas untuk menyemak semula kes berkenaan.

Menjawab soalan Yii di Dewan Rakyat tahun lalu, Liew berkata Taib dibersihkan oleh Jabatan Peguam Negara daripada sebarang salah laku.

Menteri itu menyatakan Gani telah menutup semua fail terhadap Taib pada tahun 2013.

Bekas ketua pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull berkata pada Julai lalu bahawa suruhanjaya itu tidak dapat mengambil tindakan terhadap Taib walaupun telah membuka 15 fail siasatan terhadapnya pada 2015 dan 2016.

Shukri berkata para penyiasat tidak dapat menghubungkan Taib dengan sebarang salah laku kerana semua keputusan dibuat oleh pihak lain. 

Taib berkhidmat sebagai ketua menteri Sarawak dari tahun 1981 hingga 2014.

Semasa memegang jawatannya beliau sering dituduh melakukan rasuah dan memudahkan aktiviti pembalakan di negeri itu.

Ahli keluarganya juga dikatakan mempunyai kepentingan perniagaan yang luas dalam projek-projek kerajaan di Sarawak.

Lihat Komen