malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

BELASUNGKAWA | Pada pagi 4 Julai lalu, Yuuki Setsuna atau nama sebenarnya Intan Mustika Putri Mokhtar menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Kami sebenarnya hanya pernah bercakap beberapa kali sahaja. Itu pun dalam talian, terutamanya mengenai kempen untuk dikriminalisasi ganja perubatan dalam kapasitinya sebagai Pengerusi Peratuan Kesedaran Rakyat Malaysia (Masa).

Dia komited dalam perjuangannya. Suatu pertempuran sukar dan sunyi menuju ke arah sebuah Malaysia baru yang lebih baik.

Dan tahukah sesuatu? Sekiranya kita sampai di sana nanti, itu adalah kerana orang-orang seperti Yuuki

Dia berusia 41 tahun ketika meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang. Seorang ibu yang berasal dari Cheras, dia bekerja di pusat khidmat pelanggan yang mengendalikan pelanggan seperti Singapore Airlines, dan sebelum itu dia bersama pusat ujian bahasa yang mengendalikan calon peperiksaan ETS dan TOEFL.

Gangguan, pemenjaraan, serangan

Kehidupannya berubah bertahun-tahun yang lalu apabila dia didiagnosis menghidap hipokalemia, yang menyebabkan dia lemah dan berada dalam kesakitan.

Saya tidak tahu semua ini sehingga selepas dia meninggal dunia dan saya membaca wawancaranya bersama Marc Emery, di mana Yuuki menerangkan permulaan perjalanannya dalam memperjuangkan ganja perubatan bermula dengan penyakit.

Penyakit yang sangat menyeksakan sehingga dia merasa tidak dapat menahannya. Marijuana perubatan dengan ketara membantu meningkatkan kualiti hidupnya, tetapi ia datang dengan harganya.

Gangguan hebat yang menyebabkan pemenjaraan dan serangan terhadap anggota keluarganya.

Tetapi Yuuki telah bertekad dia tidak akan berundur, malahan dia meletakkan dirinya di barisan hadapan bagi menarik perhatian dalam isu ganja perubatan dan dekriminalisasi dadah.

Dia menulis pada 2016: "Saya tidak boleh bertolak ansur dengan ketidakadilan dan pelanggaran terhadap hak kemanusiaan asas ini, jadi perjuangan kami dalam gerakan kanabis perubatan dan hak asasi kami akan diteruskan. Kami dapat menarik perhatian masyarakat.

"Tiba-tiba, halaman MalaysiaMedicalMarijuana menjadi tular di laman Facebook di Malaysia, dan melalui dunia pengetahuan perubatan nasuk ke Malaysia walaupun terdapat halangan bahasa. 

"Saya tidak gentar, tetapi ia memerlukan kekuatan," kata Yuuki.

Suaminya yang cuma memperkenalkan dirinya dengan nama Zam sahaja memberitahu saya pertemuan pertama pasangan itu.

"Saya bertemu dengannya pada bulan Februari 2006 di stesen KTM Bandar Tasik Selatan, dia agak lemah dan terjatuh dengan mudah. 

"Pada mulanya, saya sangka dia agak clumsy tapi kemudian dia memberitahu saya bahawa dia mempunyai hipokalemia, yang menjadikan ototnya kejang dan dia terus-menerus mengalami kesakitan.

"Pertama kali dia mendapat tahu menghidap penyakit itu ketika dia berusia awal 20-an," kata Zam.

Walaupun terdapat tanda-tanda positif di seluruh dunia mengenai pengesahan dan pembatalan jenayah dalam penggunaan ganja perubatan, keadaan masih sangat sukar untuk Yuuki dan keluarganya.

"Keadaan masih tetap sama.

"Kami masih berjuang dengan undang-undang, persepsi dan saya masih menanggung gelaran bekas banduan tetapi semangat datang daripada orang yang menyokong dan mempercayai mengenai ganja perubatan, terutama daripada pesakit yang memerlukan, saya rasa inilah yang mendorong Yuuki ke tahap aktivisme seterusnya.

"Dia memberi inspirasi kepada orang ramai melalui pengalamannya," kata Zam.

Dia menceritakan kejadian tragis pada tahun 2015 di mana prejudis memainkan peranan.

"Waktu itu dia hamil dengan bayi pertama kami selepas lapan tahun menunggu. Kehamilannya tiada masalah, tetapi kesnya dipindahkan ke hospital besar kerana komplikasi dan sejarah perubatannya. "

"Pada suatu hari, dia mengalami pendarahan dan saya bergegas ke bahagian kecemasan. Sebaik sahaja kami tiba, mereka memeriksa failnya dan dinyatakan di sana bahawa dia menggunakan 'kanabis untuk menangani keadaan kesihatannya'.

"Mereka menolak untuk merawat kerana pendarahannya, kami berdua merayu untuk mendapatkan rawatan, tetapi mereka berkeras untuk merujuknya ke wad psikiatri. Selepas beberapa pertengkaran, kami pergi ke hospital lain.

"Allah menyelamatkannya, tetapi kami kehilangan bayi kami.

"Saya fikir dia sudah tidak tahan lagi dengan diskriminasi ini, dan saya pasti dia tidak mahu sesiapa mengalami apa yang pernah dilaluinya sebelum ini," ujarnya.

Saya bertanya kepada Zam jika Yuuki pernah terfikir untuk melarikan diri. Maksudnya tiada sesiapa yang boleh menyalahkan penggunaan ganjanya untuk perubatan kerana berpindah ke dalam persekitaran yang lebih menerima marijuana.

"Kami mendapat tawaran daripada seorang kawan di Kanada yang menjalankan dispensari ganja perubatan di sana untuk tinggal dan bekerja dengan mereka. Tetapi dia terlalu mencintai negara ini dan masyarakatnya. "

Salah seorang rakan kempen Yuuki ialah aktivis pembaharuan dasar dadah, Samantha Chong (gambar) yang luluh dengan khabar pemergian sahabatnya itu.

"Yuuki seorang sahabat, guru dan rakan yang memperjuangkan reformasi dasar dadah.

"Dia seorang yang bersemangat menggapai bintang di langit untuk mengubah dunia. Sekiranya kamu bercakap mengenai legalisasi kanabis perubatan sepuluh tahun yang lalu, ramai orang akan kata kamu sudah tidak waras.

"Yuuki sangat berbeza dan dia percaya perubahan bukan suatu yang mustahil. Dia mencipta laman Facebook untuk mendidik orang ramai mengenai ganja dan menjelaskan bagaimana perang dadah telah menjadi perang terhadap institusi keluarga. 

"Dia berani berkongsi kisahnya berjuang dengan keadaan kesihatannya, dan dia salah seorang ahli komuniti utama yang membantu mengubah tanggapan negatif masyarakat melalui program khidmat bantuan.

"Dia menolong membina momentum kuat yang akhirnya membawa kepada dikriminalisasi penagihan dadah yang diumumkan pada akhir bulan Jun 2019 oleh Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad."

Yuuki juga malahan pernah menulis artikel untuk menangkis pandangan menteri undang-undang Singapura mengenai ganja perubatan dan menghadiri forum, protes dan wawancara.


BACA BERKAITAN:

Ganja: Menyangkal pandangan menteri undang-undang S'pura

'Hampir mustahil kajian ganja perubatan dibenarkan di M'sia'


Seorang aktivis ganja perubatan yang cuma mahu dikenali sebagai Fid memberitahu dia menyertai gerakan itu kerana mendapat inspirasi daripada perjuangan Yuuki yang juga rakannya.

"Dia memberitahu saya mengenai penyakitnya dan dari saat itu saya memutuskan untuk menyertai perjuangannya. 

"Saya agak dia sudah tahu bahawa usianya tidak lama. Sebab itu dia berjuang dengan gigih bagi meningkatkan kesedaran walaupun dalam keadaan sakit. 

"Saya sangat sedih," kata Fid kepada saya.

Ketika Malaysia mengorak langkah ke arah pembaharuan progresif, kita tidak boleh melupakan orang-orang yang berani untuk bercakap mengenai perubahan.

Zam menyifatkan isterinya seorang yang berani membawakan isu ganja perubatan ke persada umum.

"Dia adalah seorang revolusioner, dia membawa topik yang menjadi pantang-larang ke arus perdana, dan dia menunjukkan satu lagi perspektif (mengenai kanabis) kepada orang ramai.

"Dia terlibat dalam kempen 'Bantu rawat jangan hukum' sehinggalah hari sebelum dia dimasukkan ke hospital. Dia seorang pejuang sebenar yang berjuang sehingga hembusan nafasnya yang terakhir."

[Baca artikel asal]


MARTIN VENGADESAN ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen