malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hakim larang Najib buat kenyataan tentang kes di media sosial
ADS

KES NAJIB | Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali memberi peringatan tegas kepada bekas perdana menteri Najib Razak hari ini, agar berhenti membuat kenyataan di dalam talian yang boleh dianggap menghina mahkamah.

"Sebarang kenyataan di ruang awam boleh dianggap menghina (mahkamah)," katanya ketika perbicaraan kes Najib berhubung RM42 juta wang SRC International.

Hakim memberi peringatan itu setelah menetapkan untuk mendengar penghujahan pada Isnin ini, berhubung permohonan Peguam Negara Tommy Thomas agar Najib membuat permohonan maaf.

Pihak pendakwaan mahu Najib meminta maaf tanpa syarat atas hantaran di Facebook berkenaan keterangan berkaitan lebih RM3 juta didakwa dibelanja menggunakan dua kredit kad yang didaftar menggunakan namanya.

Terdahulu hari ini, ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah meminta Isnin ini sebagai hari pendengaran untuk perkara itu, kerana dia dan anak guamnya perlu berbincang sebelum menyediakan penghujahan penuh untuk melawan permohonan pendakwaan.

Thomas kemudian memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tetap meminta tertuduh agar tidak lagi membuat hantaran berkaitan perbicaraan sehingga Isnin ini.

Shafee membantah perkara itu kerana ia melanggar kebebasan bersuara.

Beliau juga memberi jaminan anak guamnya akan lebih berhati-hati dalam membuat sebarang hantaran yang berisiko dianggap sub judice.

Beliau juga berkata Najib membuat kenyataan berkenaan perkara itu di Facebook ekoran "laporan terpilih" oleh media.

"Saya diberitahu anak guam saya sebab utama dia membuat kenyataan (di Facebook) kerana media tidak melaporkan (perkara itu secara) penuh. Media membuat laporan secara terpilih," kata Shafee.

Beliau mendakwa ada banyak contoh berkenaan "laporan terpilih", di mana laporan didakwa terlalu memberi perhatian kepada keterangan berkenaan lebih RM3 juta yang dibelanja menggunakan dua kad kredit tersebut.

Pada masa sama, dakwa Shafee, media tidak atau kurang melaporkan keterangan lain, seperti berkenaan bekas Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz yang diberitahu Najib menerima sumbangan daripada luar negara.

"Tiada yang keluar (berkenaan perkara itu), kosong. Sebaliknya yang keluar (tentang) pembelian barang kemas (yang dikaitkan dengan) kad kredit," kata Shafee lagi.

Beliau juga berkata jika Najib menunggu dua bulan sebelum membuat hantaran berkenaan perbelanjaan itu, bekas perdana menteri itu tidak akan dapat bertahan (not survived), terutama dengan media yang "prejudis, buta dan tidak melihat sisi yang lain".

Tiada kebebasan bersuara sepenuhnya

Thomas kemudian bangun dan menjelaskan permintaan pihak pendakwaan bukan untuk mengaitkan Najib dengan kesalahan menghina mahkamah dengan komen sub judice, tetapi untuknya memohon maaf atas hantaran Facebook itu.

Beliau menekankan tiada negara yang mengamalkan kebebasan bersuara secara total, dan perlu ada keseimbangan antara kebebasan bersuara dengan perbicaraan yang sedang berjalan.

"Kedudukan tertuduh sebagai seorang ahli politik tidak penting dalam kes ini. Kami mengatakan dia hanyalah seorang lagi tertuduh.

"Sebagai tertuduh, dia akan dapat bersuara nanti, maka dia perlu benarkan versi pendakwaan diberitahu dahulu (ketika peringkat pendakwaan).

"Tiada guna mengkritik media, kerana mereka melaporkan versi kami. Tiba giliran pembelaan, dia (Najib) boleh memberikan versinya.

"Sebelum tiba peringkat itu, kami tidak mahu dia bercakap tentangnya (hal yang mungkin sub judice), dan satu-satunya kelakuan yang boleh diterima adalah untuknya (Najib) berkata 'saya tak akan buat kenyataan lanjut (di atas talian) sehingga Isnin," kata Thomas.

Mohd Nazlan Mohd Ghazali

Hakim Mohd Nazlan kemudian mengeluarkan peringatan tegas kepada Najib, dan mengingatkan kedua-dua pihak bahawa pendengaran tentang perkara itu Isnin ini tidak akan melebihi sejam.

Pada 15 Julai lalu, pekerja AmBank Yeoh Eng Leong dalam keterangannya berkata dua kad kredit tersebut digunakan untuk membelanjakan RM3.36 juta untuk sepuluh transaksi pada hari sama, di sebuah kedai barang kemas Italy, De Grisogono pada 2014.

Najib kemudian membuat hantaran di Facebook yang mempertahankan perbelanjaan itu, dengan berkata ia adalah "hadiah" untuk kerabat diraja sebuah negara.

Lihat Komen