malaysiakini logo
story-image
ADS

Pemimpin PKR dijadual akan menghadiri temu rapat (retreat) parti itu di pusat peranginan Lexis di Port Dickson pada hujung minggu ini ketika ketegangan antara dua pemimpin tertinggi mereka sedang memuncak.

Walaupun dianjurkan sebelum skandal seks itu meletus, tidak dapat disahkan jika perbalahan lisan antara Anwar Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali akan dibangkitkan semasa mesyuarat itu.

Terdahulu hari ini, penyokong Azmin - 14 ahli parlimen dan lapan Adun dari PKR - menandatangani satu kenyataan bersama mendesak Anwar agar tidak membuat kenyataan yang boleh menjejaskan parti itu.

Ini kemudian disususuli dengan ‘pameran kuasa’ Anwar sendiri. Diapit oleh anggota parlimen yang setia, presiden PKR itu mengisytiharkan bahawa beliau "mempunyai jumlah wakil rakyat yang mencukupi" untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

Mengenai temu rapat hujung minggu ini, terdapat pandangan yang bercanggah tentang sama ada Azmin dan ‘hulubalangnya’ akan hadir. Sesetengan mereka yang menandatangani kenyataan bersama itu memberitahu Malaysiakini bahawa mereka mempunyai rancangan lain dan tidak akan menghadirinya.

Dua daripada mereka yang menandatangani kenyataan bersama itu - Tian Chua dan Dr Xavier Jayakumar - memberitahu Malaysiakini bahawa mereka akan hadir sebagai memenuhi kewajipan sebagai naib presiden.

"Agenda (temu rapat itu) adalah untuk mengukuhkan perpaduan parti, PKR mesti bersatu dan menolak politik murahan. Ia adalah prinsip yang melahirkan PKR," kata Chua.

Setakat ini, Malaysiakini mendapati "perpaduan" adalah sesuatu yang asing di kalangan pemimpin PKR. Masing-masing tegar, lantang dan setia bersama pemimpin yang disokong mereka.

Anwar secara konsisten menyatakan bahawa beliau bersimpati dengan nasib Azmin. Walau bagaimanapun, komennya semalam bahawa Azmin harus meletak jawatan jika video itu terbukti sahih membangkitkan kemarahan penyokong timbalan presiden parti itu.

Beberapa individu dari puak Azmin memberitahu Malaysiakini bahawa Anwar sepatutnya menunjukkan kepimpinan dengan berdiri teguh di belakang bekas setiauusaha sulitnya ketika beliau pernah menjadi timbalan perdana menteri.

"Azmin dan yang lain berada di belakang Anwar ketika dia menjadi mangsa politik murahan, kenapa dia tidak boleh buat perkara yang sama untuk Azmin?" soal seorang bekas pemimpin bahagian yang menyokong Azmin.

Setakat ini, siasatan polis tertumpu pada jenayah merakam dan mengedarkan klip video seks berkenaan.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengesahkan bahawa video itu adalah sahih tetapi identiti kedua-dua lelaki yang melakukan hubungan seksual itu tidak dapat ditentukan.

Walau bagaimanapun, beberapa individu yang menyokong Anwar memberitahu Malaysiakini bahawa mereka berpegang kepada pendirian rasmi parti bahawa siasatan yang menyeluruh, termasuk meneliti pelaku dalam video berkenaan, mesti dijalankan.

Mengenai tuduhan bahawa Anwar dan penyokongnya tidak mempertahankan Azmin secukupnya, seorang pegawai parti memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tidak mendapat maklumat yang mencukupi untuk berbuat demikian.

"Kami perlukannya untuk menghadiri mesyuarat dan menjelaskan apa yang berlaku supaya kami dapat menyusun strategi bagaimana untuk mempertahankannya.

"Ini tidak seperti Anwar yang pada tahun 1990-an, di mana beliau menghadiri mesyuarat Umno dan melawan sepanjang masa," kata pegawai yang enggan namanya didedahkan.

Sementara itu, temu rapat PKR berkenaan juga akan menjadi kali pertama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad merasmikannya dan berucap. Beliau dijadual berucap kepada pemimpin dan wakil rakyat PKR pada malam esok.

Seorang pemerhati berkata, adalah menarik untuk melihat jika Azmin akan hadir pada sesi khas bersama Mahathir, memandangkan keadaan semasa.

Ketua Komunikasi PKR, Fahmi Fazil, berkata, Anwar dan kepemimpinan parti memutuskan untuk mengundang Mahathir ke wacana itu memandangkan ia adalah tradisi di kalangan parti komponen Pakatan Harapan untuk mengundang pemimpin dari parti sekutu sebagai tamu.

"Kami jangkakan beliau akan berkongsi pandangannya mengenai peristiwa semasa, rancangan untuk sesi terakhir Parlimen, rancangan pembangunan ekonomi dan hala tuju masa depan kami," katanya ketika dihubungi.

Pada Mac lau, Mahathir dan Anwar adalah tetamu pada temu rapat DAP di Selangor.

Kehadiran Mahathir pada temu rapat PKR dianggap penting kerana parti itu ditubuhkan untuk mencabarnya semasa penggal pertamanya sebagai perdana menteri pada akhir 1990-an.

Adalah juga menarik untuk dinyatakan bahawa, sama ada secara kebetulan atau reka bentuk, lokasi temu rapat PKR itu akan diadakan di kawasan pilihan raya Anwar, iaitu di Port Dickson.

Selain itu, dari sudut pandangan udara, hotel bertaraf lima bintang itu tempat temu rapat tersebut bakal berlangsung dibina dalam bentuk bunga raya - logo parti Bersatu yang diterajui oleh Mahathir.

[Baca berita penuh]

Penyumbang: Andrew Ong, Faisal Asyraf, Alyaa Alhadjri dan Zikri Kamarulzaman.

Lihat Komen