malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ezam: Wajar minta Azmin lepaskan jawatan
Diterbitkan:  Jul 18, 2019 5:25 PM
Dikemaskini: 9:44 AM
ADS

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad perlu bertindak tegas dalam menangani kes yang membabitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali, kata pengerusi NGO antirasuah, Ezam Mohd Nor.

Katanya, isu tersebut telah menjadi polemik besar dalam masyarakat dan memberi kesan mendalam bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga kepada parti yang merupakan parti pemerintah kerana yang didakwa terlibat adalah seorang menteri dan pemimpin parti memerintah.

“Kes ini merupakan sesuatu kes yang serius kerana membabitkan seorang individu yang telah membuat dakwaan dan bersedia bertanggungjawab. Individu ini juga sedang ditahan dan disiasat oleh pihak berkuasa sekarang.

“Kes ini juga serius dari sudut moral kerana membabitkan salah laku seks luar tabii yang bukan sahaja berlawanan dengan nilai beragama negara ini, malah ia juga membuka ruang kepada masalah dalam soal keselamatan dan pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini

Mengulas lanjut, Ezam berkata ekoran itu, maka adalah wajar gesaan supaya Azmin melepaskan jawatannya dalam kerajaan.

"Maka adalah wajar Azmin Ali diminta melepaskan jawatan serta tugas dan tanggungjawab kepada negara bagi menjamin perjalanan pentadbiran negara ini juga tidak terjejas dengan isu ini," kata pengerusi NGO Perjuangan Negara.

Semalam, Anwar menggesa timbalan presiden PKR supaya meletakkan jawatan daripada kabinet jika terbukti beliau terlibat dalam video seks yang kini dalam siasatan polis, manakala Azmin membidas presidennya dan memintanya untuk “cermin diri sendiri”.

“Baca bibir saya. Bagitahu dia, dia mesti tengok ‘siapa lelaki dalam cermin itu’,” kata Azmin kepada pemberita di lobi parlimen selepas sidang pada petang semalam.

Diminta pemberita untuk mengulas lanjut, menteri hal ehwal ekonomi menggesa Anwar untuk "muhasabah."

"Cermin muka dia dulu,” katanya sebelum berlalu pergi.

Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengakui bahawa dia adalah lelaki dalam video seks itu dan mengheret Azmin sebagai teman lelakinya.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menganggapnya sebagai fitnah yang berttujuan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Malah, katanya, ia adalah kerja dalaman parti itu.

Jun lalu, bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengakui bahawa dia adalah lelaki dalam video seks itu dan mengheret Azmin sebagai teman lelakinya.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menganggapnya sebagai fitnah yang bertujuan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Malah, katanya, ia adalah kerja dalaman parti itu.

Pada 15 Julai lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman Huzir Mohamed memaklumkan Haziq bersama lima orang lagi ditahan reman bagi membantu siasatan kes video seks sejenis yang dikaitkan dengan Azmin.

Keenam-enam mereka direman bagi membantu siasatan bawah Seksyen 292A Kanun Keseksaan, katanya.

Seksyen itu berkaitan pengedaran bahan lucah yang jika sabit kesalahan boleh dihukum sehingga tiga tahun penjara, denda atau kedua-duanya.

Lihat Komen