malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bukan semakan kehakiman Pulau Batu Puteh: Menteri luar mohon maaf
ADS

PARLIMEN l Kementerian Luar Negeri hari ini memohon maaf atas kenyataan timbalan menterinya, Marzuki Yahya yang pada 2 Julai lalu berkata kerajaan akan meneruskan keputusan untuk mengemukakan semakan kehakiman kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai pertikaian Pulau Batu Puteh.

Ketika berucap di Parlimen, Menteri Luar Saifuddin Abdullah menjelaskan, Marzuki sebenarnya terkeliru dengan soalan tambahan yang dikemukakan oleh Ahmad Maslan (BN-Pontian) ketika itu menyebabkannya memberikan jawapan yang tidak tepat.

“Apa yang beliau maksudkan adalah untuk Malaysia meneruskan pelaksanaan penghakiman ICJ menerusi Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC) dan bukan semakan penghakiman ICJ.

“Malaysia akan meneruskan perbincangna dengan Singapura berkenaan pelaksanaan penghakiman ICJ berhubung Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, dan tidak mengemukakan semula tuntutan ke atas Batu Puteh.

“ Kementerian Luar Negeri dengan ini memohon maaf ke Dewan yang mulia ini dan berharap penjelasan saya pada hari ini dapat membetulkan kekeliruan yang timbul semasa sesi jawab lisan pada 2 Julai 2019,” katanya.

Pada 2 Julai, Marzuki dilaporkan berkata: “Berkenaan Pulau Batu Puteh, kita masih lagi komited, tadi saya pun dah sebut bahawa kerajaan akan mengemukakan semakakan penghakiman semula kes Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan ini kepada ICJ.

“(Semua) ini kita akan teruskan”.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab Ahmad Maslan yang meminta pengesahan daripada kerajaan sama ada kes-kes berkenaan telah digugurkan.

Bagaimanapun, sehari selepas itu, beliau menjelaskan bahawa kenyataannya berkenaan Pulau Batu Puteh adalah mengenai pelaksanaan penghakiman ICJ, dan bukannya menuntut pulau itu.

Susulan kenyataannya itu, Marzuki dituduh cuba mengelirukan Dewan Rakyat kerana memberi keterangan berbeza.

Malaysia dan Singapura membawa pertikaian mereka kepada ICJ, pada 2008 dan mahkamah antarabangsa itu memutuskan Singapura berhak ke atas Pulau Batu Puteh, sementara Batuan Tengah adalah milik Malaysia tetapi tidak memberi sebarang perintah mengenai Tubir Selatan.

ICJ pada tahun lalu berkata ia dimaklumkan oleh Malaysia bahawa negara itu akan menarik balik permohonan semakannya, yang pada mulanya dijadual dibicarakan pada 11 Jun 2018.

Pengumuman itu dibuat pada 1 Jun tahun lalu, kurang sebulan selepas Pakatan Harapan menerajui Putrajaya, tetapi ICJ tidak menyebut bila ia menerima notis daripada Malaysia.

Bangkit mencelah selepas ucapan Saifuddin, Annuar Musa (BN-Ketereh) bertanya kenapa kerajaan mengambil keputusan menarik balik semakan itu pada tahun lalu sedangkan pasukan Malaysia telah menemukan fakta-fakta baru yang boleh membantu Malaysia dalam semakan penghakiman kepada ICJ.

Menurunya, keputusan itu menyebabkan Malaysia kehilangan Pulau Batu Puteh buat selama-lamanya.

Menjawab soalan Annuar, Saifuddin berkata dia difahamkan keputusan itu diambil kerana kerajaan ketika itu berpandangan fakta-fakta baru itu tidak mencukupi untuk rayuan semula.

“Pada masa itu saya belum angkat sumpah sebagai menteri luar, tapi sepanjang pentahuan saya dan setelah memeriksa dengan pegawai-pegawai, kerajaan buat keputusan untuk menarik balik rayuan kerana melihat balik kepada fakta-fakta baru itu.

“Kerajaan berpandangan bahawa yang dikatakan fakta-fakta baru itu itu tidak mencukupi untuk memperkukuhkan peluang kita untuk merayu semula,” jawabnya ringkas.

Sementara itu, Ahmad Maslan turut bangkit untuk meluahkan rasa besar hatinya apabila Saifuddin sebagai menteri sanggup meminta maaf atas kesilapan dan kekeliruan yang berlaku.

Lihat Komen