malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Tiada perikemanusiaan jalankan kaji selidik mengenai bila PM patut berundur
ADS

Sebarang gesaan meminta Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri akan mengganggu usaha-usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan membebaskan negara daripada rasuah dan pelanggaran lain pada masa lepas, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini.

Setiausaha Agungnya J.Solomon juga berkata tidak perlu mana-mana pihak menjalankan kaji selidik mengenai berapa lama Dr Mahathir patut memegang jawatan itu kerana pemimpin berusia 94 tahun itu mesti diberi seberapa banyak “masa dan ruang” yang diperlukannya untuk meletakkan ekonomi negara pada landasannya semula.

“Walaupun beliau melantik kebanyakan menterinya daripada kalangan mereka yang baru pertama kali memegang jawatan kabinet, tetapi Tun telah menjalankan tugasnya dengan cemerlang setakat ini, ketika berdepan tekanan hebat dan skandal-skandal yang belum pernah berlaku sebelum ini, yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu,” kata Solomon dalam satu kenyataan di sini.

Kumpulan pemikir kerajaan Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE) semalam mendakwa bahawa kaji selidik yang dijalankannya mendapati 75 peratus daripada responden merasakan Dr Mahathir tidak patut kekal menjadi perdana menteri melebihi tempoh dua tahun.

Sebanyak 22 peratus lagi berkata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak perlu meletak jawatan sama sekali. Sebanyak 1,597 orang telah ditemu bual dalam kaji selidik itu.

Dr Mahathir telah berkali-kali memberi jaminan bahawa beliau akan mengotakan janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim walaupun tiada kerangka waktu ditetapkan, dan kedua-dua pemimpin sering merujuk kepada perkara itu.

Solomon berkata rakyat Malaysia tidak sepatutnya terganggu daripada fokus hendak memulihkan ekonomi negara, “terutama apabila kerajaan di bawah Dr Mahathir sudah mula menunaikan janji-janjinya.”

“Dr Mahathir mungkin bukan seorang yang bersahabat baik dengan kesatuan-kesatuan sekerja pada masa lepas tetapi kini kami melihat beliau dan ahli-ahli kabinet meletakkan kepentingan kepada pekerja yang membolehkan kesatuan-kesatuan sekerja pada hari ini memainkan peranan yang lebih penting dalam pembinaan negara,” kata Solomon.

“Apa yang perlu sekarang ialah para majikan di sektor swasta perlu membalas hasrat kerajaan untuk meningkatkan kedudukan para pekerja yang kini amat memprihatinkan dengan menawarkan gaji dan persekitaran kerja yang lebih baik,” kata beliau.

Sambil menyifatkan Dr Mahathir sebagai seorang negarawan, Solomon berkata adalah “tidak berperikemanusiaan” untuk meminta perdana menteri meletakkan jawatan sebelum beliau berpuas hati bahawa beliau telah melakukan segala yang beliau terdaya untuk negara dan telah bersedia untuk menyerahkan kuasa.

‘Saya juga ingin katakan bahawa adalah tidak berperikemanusiaan untuk mengadakan semua kaji selidik ini dan tidak berhenti-henti bercakap mengenai peralihan kuasa apabila Dr Mahathir sedang melakukan yang terbaik manakala masalah-masalah yang dihadapinya bukan berpunca daripada beliau sendiri, tetapi lebih disebabkan oleh salah guna kuasa oleh kerajaan terdahulu,” kata Solomon.

Solomon berkata adalah tidak masuk akal untuk memikirkan mengenai pertukaran perdana menteri kerana kerajaan PH belum pun menghabiskan separuh daripada mandat lima tahunnya, yang dimenanginya pada Mei tahun lepas.

“MTUC berharap semua ahli politik, sama ada daripada kerajaan yang memerintah atau pembangkang, berhentilah daripada terlibat secara meluas dalam politik tidak sihat yang hanya akan merencatkan pembangunan negara.

“Para pekerja di negara ini menggesa semua pihak supaya berhenti mempolitikkan kehidupan rakyat Malaysia dan memastikan segala usaha difokuskan kepada membaik pulih negara dan tidak membazirkannya kepada perkara remeh-temeh atau kaji selidik yang tidak penting yang mana akhirnya golongan pekerja yang akan menjadi mangsa,” kata beliau.

- Bernama

Lihat Komen