malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nelayan perlu lapor polis jika ada kegiatan perlombongan pasir haram
ADS

Kerajaan negeri Perak meminta persatuan nelayan, nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan supaya melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengetahui sebarang kegiatan perlombongan pasir secara haram di perairan negeri ini.

Menurut Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak Abdul Yunus Jamahri aktiviti perlombongan pasir itu bertujuan menambak tiga buah pulau di Pulau Pinang.

"Jika aktiviti perlombongan dilaksanakan, ia akan menjejaskan 6,000 nelayan di negeri ini termasuk 3,400 nelayan di daerah Kerian," katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian Skim Tabarruq kepada 40 waris di Pusat Khidmat Harapan di Kuala Kurau, Parit Buntar hari ini.

Skim itu bertujuan meringankan beban waris apabila ahli keluarga meninggal dunia dengan kerajaan negeri memberikan sumbangan RM500 untuk setiap keluarga.

Abdul Yunus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kurau berkata kerajaan negeri prihatin dengan masalah nelayan jika perlombongan pasir diteruskan kerana ia akan menjejaskan tangkapan ikan selain mengakibatkan kerosakan alam sekitar.

Pada 11 Julai lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengkaji bantahan nelayan berhubung projek tambakan laut melibatkan pembinaan tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang.

Beliau memberi jaminan akan menilai memorandum bantahan nelayan di negeri-negeri utara tanah air termasuk Perak sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

- Bernama

Lihat Komen