malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Wanita cederakan pembantu rumah dipenjara setahun
ADS

Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya kerana mencederakan pembantu rumahnya dengan menyimbah air panas, hampir lima tahun lepas.

Lim Lee Poh, 49, yang mengendalikan rumah anak yatim, juga didenda RM20,000 atau penjara dua tahun serta diperintahkan membayar ganti rugi RM10,000 kepada mangsa, Koay Ley Kheng.

Panel tiga hakim dengan keputusan majoriti 2-1, membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengenakan semula hukuman yang dijatuhi Mahkamah Majistret Pulau Pinang yang mensabitkan Lim atas kesalahan itu.

Lim dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membenarkan rayuannya pada 18 April tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan keputusan majoriti yang memihak kepada pendakwaan manakala Hakim Datuk Rhodzariah Bujang sebaliknya.

Abdul Karim yang mempengerusikan panel itu bagaimanapun mengubah hukuman Mahkamah Majistret daripada penjara tiga tahun kepada penjara setahun dengan denda RM20,000 serta ganti rugi RM10,000 kepada mangsa.

Semasa mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Lim, Abdul Karim berkata rayuan pendakwaan mempunyai merit.

Lim, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret pada 24 Feb, 2017 kerana mencederakan Koay, 29, di sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Bendera, Ayer Itam, Pulau Pinang pada 20 Ogos, 2014.

Menurut fakta kes, Lim menyimbah air panas ke belakang badan mangsa.

Peguam Dev Kumaraendran memohon mahkamah memberi belas kasihan kepada anak guamnya dan mengubah hukuman penjara tetapi Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd Sham memohon mahkamah mengekalkan hukuman penjara tiga tahun.

- Bernama

Lihat Komen