malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Presiden PKR Anwar Ibrahim berjenaka berkata beliau telah melihat wajahnya di cermin pada hari ini sebagai maklum balas terhadap kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali semalam.

Kata Anwar, timbalan presiden PKR itu mungkin menggesanya supaya "muhasabah" diri tanpa membaca kenyataan penuh beliau sebelum ini.

"Saya sudah tengok cermin pagi tadi," kata MP Port Dickson bersambut tawa dirinya dan para pemberita di lobi parlimen hari ini.

Anwar menjelaskan beliau tidak terkejut dan kecewa dengan kenyataan menteri itu.

"Saya tak rasa perlu untuk terkejut berkenaan hal itu tetapi saya fikir beliau patut membaca teks penuh dan konteksnya.

"Barangkali perlu baca teks penuh dan tidak melenting, tidak merasa terganggu," katanya lagi.

Bagaimanapun, ketika ditanya sekiranya beliau ada bercakap dengan Azmin baru-baru ini, Anwar menjawab: "Ya, saya ada menelefon (Azmin)."

Terdahulu Anwar menggesa timbalan presiden PKR supaya meletakkan jawatan daripada kabinet jika terbukti beliau terlibat dalam video seks yang kini dalam siasatan polis, manakala Azmin membidas presidennya dan memintanya untuk “cermin diri sendiri”.

“Baca bibir saya. Bagitahu dia, dia mesti tengok ‘siapa lelaki dalam cermin itu’,” kata Azmin kepada pemberita di lobi parlimen selepas sidang pada petang semalam.

Diminta pemberita untuk mengulas lanjut, menteri hal ehwal ekonomi menggesa Anwar untuk "muhasabah."

"Cermin muka dia dulu,” katanya sebelum berlalu pergi.

Bulan lalu, bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengakui bahawa dia adalah lelaki dalam video seks itu dan mengheret Azmin sebagai teman lelakinya.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menganggapnya sebagai fitnah yang berttujuan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Malah, katanya, ia adalah kerja dalaman parti itu.

Lihat Komen