malaysiakini logo
story-image
ADS

Dewan Rakyat hangat dengan pertukaran cacian antara dua anggota parlimen - Arau dan Labis- ketika sesi aturan mesyuarat dan usul-usul.

Hal itu berlaku ketika MP Arau, Shahidan Kassim meminta Parlimen untuk menarik balik soalan nombor 104 oleh MP Labis, Pang Hok Liong yang dibuat pada 10 Julai lalu meminta penjelasan berkenaan elaun dan kemudahan-kemudahan dinikmati Yang di-Pertuan Agong.

“Kita menyentuh sifat dia (YDPA). Sepatutnya parlimen tarik soalan ini, (jika dibenarkan) seolah-olah Parimen menghina YDPA.

“Bagaimana kita benarkan soalan demikian rupa?” kata Shahidan memetik peraturan mesyuarat 36(7).

Ketika itu, Pang bangun mencelah, dan berkata “Sekurang-kurangnya saya tak cabuli gadis umur bawah (gadis bawah umur).”

Celahan Pang itu membuatkan Shahidan tergamam untuk beberapa saat, sebelum membalas cacian itu, “Oi, Bangsat Labis!”.

Pertukaran itu memaksa Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof membisukan pembesar beberapa wakil rakyat yang turut bangun menyertai pertelingkahan itu sebelum mengarahkan kedua-duanya menarik balik kata-kata tersebut.

“Orang ramai melihat kita dalam dewan ini, dan di hadapan kita ini adalah murid sekolah. Jadi Labis sila tarik balik, Arau tarik balik. Kalau tak, kedua-dua akan saya minta keluar,” kata Ariff.

Biarpun menyatakan kenyataannya tidak ditujukan kepada Shahidan, Pang akhirnya bersetuju menarik balik kenyataannya.

Pang: “Saya tarik balik”

Shahidan: “Saya pun tarik balik. Tak ada masalah”.

Lihat Komen