malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahathir enggan masuk campur masalah dalaman PKR
ADS

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad enggan terlibat dengan konflik dalaman dalam PKR.

“Saya tak perlu fikirkan mengenai ini.

“Saya ada banyak benda untuk lakukan,” katanya sambil berlalu pergi pada sidang media majlis pelancaran aplikasi telefon pintar respons rakyat di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada PKR merupakan satu liabiliti dalam PH, berikutan konflik dalaman yang dihadapinya. 

Terdahulu hari ini, beliau mempengerusikan mesyuarat yang bersetuju secara prinsip bahawa terdapat keperluan untuk jawatankuasa kabinet membincangkan fungsi tugas dan tangungjawab setiausaha politik dengan jelas dalam melaksanakan tugas mereka di kementerian.

Pada masa sama, apabila ditanya konflik dalaman PKR itu akan menyebabkan kelambatan peralihan kuasa perdana menteri, beliau hanya menjawab:

"Itu benda akan datang. Ia akan dibincangkan apabila perkara itu tiba.”

Bulan lalu, bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengakui bahawa dia adalah lelaki dalam video seks itu dan mengheret Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menganggapnya sebagai fitnah yang bertujuan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim yang juga dikatakan bakal menggantikan jawatan Mahathir sebagai perdana menteri itu berkata pendirian awalnya adalah bahawa Azmin tidak perlu meletak jawatan tetapi harus berbuat demikian jika video berkenaan terbukti benar.

Lihat Komen