malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
AS singkir Turki daripada program F-35
Diterbitkan:  Jul 18, 2019 11:34 AM
Dikemaskini: 3:36 AM
ADS

GLOBAL | Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mengumumkan bahawa ia bertindak menyingkirkan Turki dan firma negara itu daripada program pesawat pejuang Stealth F-35 sebagai menyusuli ancamannya untuk berbuat demikian jika Ankara menerima sistem anti-udara Rusia S-400, lapor agensi berita Anadolu.

Proses itu akan selesai menjelang akhir Mac 2020, kata ketua pengambilalihan dan pemerolehan Pentagon Ellen Lord kepada pemberita.

"AS masih menghargai perkongsian strategik kami dengan Turki. Jabatan Pertahanan dan kerajaan AS telah bekerja keras untuk mencartakan satu laluan alternatif bagi membolehkan Turki memperoleh sistem pertahanan udara dalam piawaian sekutu NATO untuk saling kendali dan masih membenarkan Turki kekal dalam perkongsian F-35," kata Lord.

Stealth F-35

Beliau berkata AS telah berusaha untuk membekalkan Turki dengan sistem anti-udara Patriot dalam usaha agar Ankara membatalkan pembelian S-400. Usaha itu, kata Lord, telah dilakukan sejak awal 2017 apabila Turki mengumumkan minatnya terhadap sistem Rusia tersebut.

Pentadbiran Trump telah mengancam untuk menyingkirkan Turki daripada program F-35 jika ia memperoleh S-400, dan memberi amaran bahawa sistem anti-udara itu boleh digunakan Moscow untuk mendapatkan maklumat rahsia secara senyap berhubung pesawat pejuang Stealth dan tidak sesuai dengan sistem NATO.

Penyerahan komponen S-400 bermula minggu lepas dan masih berjalan dengan 14 penghantaran peralatan berkaitan setakat ini yang mendarat di Turki sejak enam hari lepas.

"Kebanyakan kekuatan F-35 terletak pada keupayaan tersendirinya. Jadi kemampuan untuk mengesan keupayaan itu akan menjejaskan keselamatan jangka panjang program F-35," kata Lord.

Presiden AS Donald Trump pada Selasa berkata Turkey tidak akan dibenarkan membeli pesawat F-35, namun sama ada negara itu akan terus dibenarkan menyertai program tersebut dibiarkan tergantung sehingga Pentagon membuat pengumuman.

- Bernama

Lihat Komen