malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tinjauan IDE: Ramai responden tak mahu Dr M jadi PM lebih 2 tahun
Diterbitkan:  Jul 17, 2019 8:45 PM
Dikemaskini: Jul 18, 2019 8:05 AM
ADS

Satu tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) - badan pemikir kerajaan Selangor - menyaksikan 75 peratus responden berpandangan Dr Mahathir Mohamad tidak sepatutnya kekal sebagai perdana menteri selama dua tahun.

Daripada 75 peratus itu, 44 peratus berkata Dr Mahathir harus melepaskan jawatan sebagai perdana menteri dalam masa enam bulan dari sekarang.

Sebanyak 36 peratus pula berpandangan Dr Mahathir tidak seharusnya memegang jawatan perdana menteri lebih daripada dua tahun, manakala 20 peratus mahu beliau meletakkan jawatan segera.

Sementara itu, hanya 22 peratus responden berkata tidak ada keperluan untuk Dr Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri.

Dapatan tinjauan itu dikeluarkan IDE melalui kenyataan media hari ini.

Dr Mahathir telah berjanji sebelum pilihan raya umum tahun lalu bahawa beliau akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim dalam masa beberapa tahun.

Walaupun Dr Mahathir sebelum ini mengatakan bahawa dia akan melakukannya dalam masa dua tahun, selain berulang kali menegaskan akan menyerahkan jawatan kepada Anwar, tempoh sebenar masih beliau memegang jawatan perdana menteri masih tidak jelas.

IDE juga menanyakan responden tentang calon yang dirasakan sepatutnya menggantikan Dr Mahathir, yang menyaksikan Anwar mendahului senarai dengan 45 peratus.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menduduki tempat kedua dengan 16 peratus manakala timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menduduki tempat ketiga dengan 11 peratus.

Sementara itu, satu peratus responden menginginkan Presiden Amanah Mohamad Sabu menjadi pengganti Dr Mahathir.

Selebihnya, iaitu 27 peratus bagi ahli politik lain seperti bekas perdana menteri Najib Razak dengan enam peratus, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dengan tiga peratus, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dengan tiga peratus, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dengan satu peratus.

Tinjauan ini dijalankan selama tiga hari dari 28 hingga 30 Jun tahun ini.

Seramai 1,597 responden wakil dari 222 kerusi parlimen di Malaysia telah ditemu bual.

Lihat Komen