malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas pekerja Tamil Nesan lapor polis: Majikan gagal carum KWSP, Perkeso
ADS

Bekas pekerja akhbar Tamil Nesan yang ditutup pada Februari lalu mendakwa majikan mereka tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) sejak 2016.

Seramai 40 bekas kakitangan akhbar harian berbahasa Tamil yang berusia hampir 100 tahun itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak pada hari ini.

Mereka mendakwa bekas majikan telah melakukan kesalahan pecah amanah selepas tidak membayar gaji sebanyak satu bulan kepada para pekerja.

"Kami mendapati pihak pengurusan Tamil Nesan tidak membayar gaji sebulan, selain potongan KWSP selama lima bulan dan Perkeso selama 39 bulan. 

"Bagi kami ini merupakan satu jenayah komersial," kata Timbalan Presiden PSM, S Arutchelvan yang mewakili kakitangannya.

Menurutnya, akibat tidak membayar caruman Perkeso, para pekerja juga telah dinafikan hak mendapat pampasan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

SIP merupakan sistem bantuan kewangan segera kepada pekerja yang hilang pekerjaan untuk menampung kehidupan sementara mereka mencari pekerjaan baru.

Arutchelvan (gambar) mendakwa pihak pengurusan juga membuat potongan skim insurans peribadi tanpa membayarnya selama 17 bulan.

"Kamu membuat potongan caruman daripada gaji, kemudian tidak membayar (kepada syarikat insuran) bermakna jenayah. Kalau di parlimen menteri boleh kata duit GST yang tidak dipulangkan merupakan 'rompakan', saya percaya kes in juga sama sepertinya," katanya kepada pemberita.

Bekas ketua editor Tamil Nesan, K Padmanabhan berkata para pekerja akhbar itu merasa tertipu kerana selepas diberhentikan tunggakan gaji mereka tidak diselesaikan bekas majikan.

"Kami dihentikan pada hujung Januari yang lalu. Kami juga dijanji akan membuat segala tunggakkan serta gaji dua bulan sebelum akhir bulan Mac.

"Kami rasa ditipu selepas pihak pengurusan hanya membuat bayaran bagi bulan Februari sahaja. Sejak itu, mereka tidak membuat sebarang pembayaran serta tidak melayan panggilan kami," katanya.

Sementara itu, Padmanabhan turut meminta Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran segera campur tangan dalam isu ini.

"Kami sedih apabila kami ingin berjumpa dengan beliau, menteri minta kami berurusan dengan kakitangan kementerian. Sejak itu, kementerian tidak menghubungi kami. Malah, kami juga tidak dapat berjumpa dengan menteri.

"Inilah nasib kami, sebelum jadi kerajaan kami memberi (ruang menerbitkan) beratus-ratus artikel mengenainya. Hari ini beliau tidak mempunyai lima minit untuk kami," kata Padmanabhan lagi.

Bagaimanapun, beliau masih berharap Kulasegaran akan menghubungi mereka.

Bekas Ketua Wartawan Tamil Nesan, S Thaiyalan pula menjelaskan bahawa segala tuntutan yang diminta oleh kakitangan merupakan cadangan daripada pihak pengurusan sendiri.

"Ketika, kami dihentikan, kami diberitahu bahawa Tamil Nesan hanya ditutup sementara. Akan dibuka semula.

"Mereka memberi segala janji (bayaran) dalam hitam putih. Tapi, rasa tertipu selepas ia tidak ditunaikan," katanya.

Dihubungi kemudian, Pengarah Urusan Tamil Nesan, S Vell Paari (gambar) berkata beliau mengambil maklum mengenai laporan polis yang dibuat pada hari ini.

"Syarikat ini sedang menanggung hutang yang sangat besar. Kami semata-mata tidak mampu membayar segala yang dituntut. "

"Pada masa yang sama, kami berhubung dengan badan berkanun seperti KWSP dan Perkeso untuk menentukan jumlah sebenar yang terhutang kepada pekerja tersebut.

"Kami telah bertemu dengan KWSP dua kali bulan ini untuk menyelesaikan isu ini.

"Apabila jumlah yang tepat ditentukan, pengarah syarikat akan memenuhi kewajibannya untuk membayar hutang di bawah peraturan kepada KWSP dan Perkeso," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas mengenai jumlah wang yang lain yang dituntut oleh pekerja itu.

Tamil Nesan merupakan akhbar Tamil milik keluarga bekas presiden MIC, S Samy Vellu.

Lihat Komen