malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Laporan Audit Negara: Pemuda MIC lapor Sedic ke SPRM
ADS

Pemuda MIC bertindak membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pendedahan laporan Ketua Audit Negara 2018 yang menyatakan peruntukan berjuta ringgit yang disalurkan kerajaan bagi membantu masyarakat India dikesan disalah guna, termasuk untuk kepentingan peribadi.

Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, R Thinalan membuat laporan SPRM terhadap Unit Pembangunan Ekonomi Masyarakat India (Sedic) yang merupakan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menguruskan dan memantau peruntukan kepada masyarakat India melalui NGO.

"Kami membuat laporan berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2018, yang jelas dinyatakan SEDIC menyalahgunakan dana serta konflik kepentingan.

"Jadi, kami nak SPRM membuat satu siasatan penuh dan terperinci terhadap Sedic dan juga NGO-NGO yang menerima dana tersebut," katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Malay Mail Online melaporkan berjuta ringgit peruntukan bagi kebaikan komuniti India Malaysia telah disalah tadbir oleh unit khas di bawah JPM.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 mengatakan bahawa Sedic di bawah pentadbiran terdahulu telah diberikan sehingga RM203.89 juta antara 2014 dan 2018 untuk menjalankan program pembangunan untuk meningkatkan tahap kehidupan masyarakat India miskin.

Bagaimanapun, laporan tersebut menyatakan bahawa tiada rekod atau pangkalan data untuk memantau perbelanjaan geran dan NGO penerima tidak mengikuti kriteria dari segi pemilihan.

"Terdapat juga kelemahan dalam pentadbiran dan konflik kepentingan dalam pengurusan SEDIC yang melibatkan ketua pengarahnya dengan seorang menteri dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri," kata laporan itu.

Sementara itu, Thinalan turut menegaskan bahawa MIC tidak menerima sebarang peruntukan daripada Sedic.

"Ramai yang kata MIC mengambil dana dan sebagainya. Dan saya ingin menjelaskan bahawa MIC tidak mengambil sebarang dana walaupun satu sen.

"Kami nak SPRM siasat secara mendalam, dan ambil tindakan terhadap pihak yang menyalahgunakan peruntukan tersebut," kata Thinalan lagi.

Untuk rekod, Sedic yang ditubuhkan bawah kerajaan BN dulu bagi meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun Sedic telah dibubarkan dan dinamakan semula sebagai Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) dan masih berada di bawah JPM.

Lihat Komen