Pengiklanan

    Helah Najib akan terbongkar jua

    (Dikemaskini )
    Howard Lee  |  Berita

    KATA ADUN | Sesungguhnya Najib Razaklah yang mengelirukan, tidak jujur serta terang-terangan menipu.

    Beliau dan beberapa orang anggota pentadbiran terdahulu yang terlibat serta bersubahat dalam skandal kleptokrasi 1MDB masih berani menyalahkan 'percutian cukai' bagi mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan mereka memulangkan semula tuntutan cukai input cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang berjumlah RM19.4 bilion.

    Angka tidak pernah menipu. Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memperlihatkan sehingga 30 April 2018, baki dalam dalam Akaun Hasil Disatukan tinggal hanya RM450 juta.

    Hal itu diketahui selepas PH mengambil alih kerajaan.

    Dan ia berlaku meskipun keseluruhan kutipan GST dimasukkan terus ke akaun tersebut.

    Laporan juga menunjukkan sehingga 30 Mei 2018, tinggal hanya RM152 juta (atau 0.78 peratus daripada tuntutan input) dalam Akaun Amanah GST, sedangkan keseluruhan tuntutan Cukai Input GST ialah RM19.4 billion.

    Seksyen 54(2) Akta GST 2014 - yang kini telah dimansuhkan - menyatakan bahawa semua hasil GST mestilah dimasukkan ke akaun amanah, dengan keseluruhan atau sebahagian daripada jumlah wang dapat dipindahkan ke dalam Akaun Disatukan dengan kelulusan Menteri Kewangan.

    Ada tiga syarat

    Apa yang Najib lakukan jelas melanggar peruntukan Akta GST yang dirangka, dibentang serta diluluskan di parlimen oleh pentadbiran beliau sendiri.

    Namun, Najib masih mahu menyalahkan kerajaan PH yang menyelesaikan masalah pentadbiran beliau dengan memulangkan semula Cukai Input GST kepada pembayar cukai.

    Ini tidak lain tidak bukan satu tindakan terdesak seorang ahli politik yang tidak menyesali jenayahnya sendiri untuk mengelirukan rakyat dengan cuba mengekalkan imej sebagai orang tidak bersalah, melalui pelbagai helah.

    Bukankah itu satu bukti bahawa Najib dan konco-konconya melaksanakan GST kerana terdesak untuk menampung pembaziran disebabkan oleh sikap serta perangai seseorang yang mampu belanja sehingga RM3.3 juta sehari menggunakan kad kredit?

    Adakah Najib mengakui beliau sebenarnya bergantung kepada hasil rezeki rakyat pada masa akan datang untuk membayar hutang-hutang beliau yang dahulu?

    Untuk rekod, perkataan "rompak" ditakrifkan sebagai: perbuatan jenayah bertujuan untuk mengambil harta orang lain secara ganas atau intimidasi, sama ada dilakukan secara perseorangan atau kumpulan.

    Saya menyimpulkan bahawa untuk mengabsahkan perkataan "rompak" ke atas seseorang, perbuatannya itu haruslah memenuhi tiga syarat, iaitu memperlihatkan kegiatan yang salah di sisi undang-undang, mempunyai unsur ugutan dan terdapat pihak kehilangan sesuatu natijah daripada perbuatan orang yang dituduh.

    Syarat yang pertama: Apa yang diperincikan oleh angka hasil GST jelas memperlihatkan penyelewengan Akta GST. Justeru ia salah di sisi undang-undang.

    Syarat kedua: Dalam beberapa kejadian, Najib dan konco-konconya mengugut dan mengancam rakyat bahawa kerajaan tidak akan dapat berfungsi, dan negara tidak akan dapat menyediakan kemudahan dan pembangunan tanpa adanya GST.

    Syarat ketiga: Puluhan ribu penuntut Cukai Input GST dinafikan tuntutan mereka walaupun ia diperlukan bagi memastikan kececairan modal pasaran ekonomi Malaysia.

    Dengan ketiga-tiga syarat ini dipenuhi, helah Najib menyembunyikan kebenaran daripada rakyat Malaysia akan terbongkar.

    Bukan sahaja 'merompak', tetapi beliau juga mencuri, menyamun, serta menyangak kita semua.

    Dan kita tidak akan berganjak daripada pendirian ini.


    HOWARD LEE ialah ketua Pemuda DAP merangkap Adun Pasir Pinji, Perak.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih