malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Warga Nigeria dakwa terima layanan buruk imigresen, polis
ADS

Biarpun banyak kereta kelihatan di parkir, jika dilihat dari jalan, Pangsapuri Desa Satu di Desa Aman Puri agak lengang, mungkin kerana faktor hujan lebat yang melanda.

Setelah hujan teduh, baru kelihatan beberapa orang penghuni keluar berjalan kaki di jalan tar, menuju ke kedai runcit yang terletak di aras bawah bangunan pangsapuri. Beberapa kereta dan motosikal juga mula bergerak keluar.

Di salah satu blok, kelihatan beberapa lelaki warganegara Nigeria berkumpul di kawasan kaki lima aras bawah sambil bersembang dalam bahasa ibunda mereka. 

Beberapa orang lagi kelihatan berborak di sebuah restoran. Secara kasar, bilangan mereka dianggarkan seramai beberapa belas orang.

Pangsapuri itu merupakan antara tempat yang diserbu imigresen pada 4 Julai lalu yang menyaksikan penahanan seorang pelajar ijazah kedoktoran warga Nigeria di universiti swasta tempatan, Orhions Ewansiha Thomas bersama warga asing yang lain.

Thomas mati dalam tahanan Imigresen, 9 Julai lalu, dikatakan kerana diserang sawan ketika tidur.

“Polis sentiasa ada buat rondaan di sini. [...] Selalunya mereka sasarkan orang Nigeria,” kata Williams, 38 yang juga seorang penghuni warganegara Nigeria.

Williams tidak pernah ditahan pihak polis. Tetapi seperti mendiang Thomas, dia juga pernah ditahan imigresen.

Orhions Ewansiha Thomas

“Tak mudah berada di sana. Setiap orang yang keluar dari tempat itu (tahanan imigresen) merungut tentang layanan yang mereka dapat.

“Mereka guna kayu, kamu tahu? Sanggupkah kamu guna kayu (untuk pukul) seseorang yang berada di bawah kamu (ditindih)? Kamu tumbuk macam ini,” katanya membuat gaya hayunan tangan.

“Sesetengah dapat parut di semua bahagian badan. [...] Kamu tak boleh tahan (dengan layanan sebegitu). Layanannya tak bagus sesama manusia,” katanya yang merupakan seorang peniaga ketika ditemui Malaysiakini.

Kelmarin, sekumpulan warganegara Nigeria mengadakan protes di hadapan Suruhanjaya Tinggi Nigeria kerana tidak berpuas hati dengan kematian Thomas di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan mendakwa suruhanjaya itu tidak bertanggungjawab terhadap kebajikan warganya.

Anggota Parlimen Klang Charles Santiago turut menggesa prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Imigresen disemak semula dan diperbaharui susulan kematian pelajar Lim Kok Wing itu.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud ketika mengesahkan kematian Thomas menjelaskan bahawa mendiang dilayan secara berhemah dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika ditahan di depot tahanan.

Perihal dakwaan layanan buruk imigresen turut dikongsi oleh seorang lagi penghuni Pangsapuri Desa Satu warganegara Nigeria, Oke, 38, kepada Malaysiakini.

Oke dan isterinya, seorang warga tempatan, mengusahakan sebuah kedai makan di kawasan itu.

“Saya pernah nampak, (kakitangan imigresen) tendang seorang (tahanan) di kemaluannya, guna kaki. Sampai jatuh orang tu,” katanya yang pernah ditahan imigresen di lapangan terbang selama tiga hari.

Katanya, sepanjang ditahan, dia mendapati layanan yang diberikan kepada tahanan warga Nigeria juga lebih buruk berbanding tahanan negara lain, apabila mendakwa mereka tidak diberikan makanan seperti tahanan warganegara lain.

Malah tambah Oke, layanan buruk yang dihadapi warga Nigeria tidak hanya daripada pegawai imigresen, tetapi juga daripada anggota polis yang didakwanya melibatkan "permainan wang dan rasuah".

Dakwanya, ada berlaku kejadian di mana warganegara Nigeria yang ditahan polis diminta membayar sejumlah wang bernilai ribuan ringgit jika mahu dibebaskan.

Katanya lagi, ketika melakukan serbuan dari rumah ke rumah, pihak polis juga merampas barang milik warga asing seperti telefon bimbit dan kasut.

“Mereka tuduh kami penipu. [...] Mereka berjalan dengan orang yang bagi mereka maklumat- individu ini ada keluarga yang kaya di Nigeria. Jadi mereka ke sana (rumah individu tersebut) untuk menangkapnya. Begitulah caranya (mereka memeras wang),” tambahnya lagi.

Malah tambah Oke, dia sendiri ada pengalaman ditipu seorang anggota polis sebanyak RM24,000. Namun, usahanya membuat laporan polis terhadap anggota itu hanya sia-sia dan tidak membuahkan apa-apa hasil.

“Dia ambil duit saya RM24,000, dia beritahu mahu buat supaya orang saya (Nigeria) tidak dipenjarakan, tapi sampai hari ini dia tak ada buat apa-apa. [...] Saya pergi ke IPD Gombak, buat laporan kepada seorang pegawai polis, tahu apa dia cakap?

”Orang Nigeria menipu orang. Sebab tu orang lain tipu mereka balik. Tak payahlah nak komplen.”

“Dia cakap dalam bahasa Melayu, dia tak tahu saya faham bahasa Melayu, tapi saya diam saja. Dia juga suruh saya matikan telefon bila saya masuk ke balai. Kalau dia buat kerja dengan betul, tak payah takut-takut, kan?” tambahnya yang sudah tinggal di Malaysia lebih 12 tahun dan berkahwin dengan wanita tempatan.

Katanya lagi, pegawai polis yang mengambil laporan turut menakut-nakutkannya dan cuba membuat tawaran kepadanya.

“Dia kata tak boleh siasat, melainkan saya tunjuk rumah orang Afrika, nanti dia pergi tangkap, ambil duit daripada orang itu, dan bagi saya balik duit saya. Dia takkan tahan pegawai yang tipu saya itu.

“Dia juga kata, kalau buka laporan, mereka kena tahan saya di Malaysia. Mereka takut-takutkan saya, bahawa saya tak boleh pergi ke negara asal saya. Saya kena duduk Malaysia sampai kes selesai, sama ada lima tahun, sepuluh tahun, saya tak boleh ke mana-mana,” katanya.

Oke turut menunjukkan kepada Malaysiakini beberapa slip pemindahan wang yang dilakukan kepada penama yang didakwanya seorang anggota polis.

Sementara itu, bagi seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Arelim, 29, kehadiran warga asing di pangsapuri terbabit tidak menyebabkan masalah serius melainkan aduan bising dan pergaduhan di kalangan mereka.

“Kes macam kecurian tak ada, cuma kes bising, atau bergaduh sesama mereka sahaja. Dengan penduduk tempatan mereka tak buat masalah.

"Dulu yang selalu ramai di kawasan kedai makan Cina (di lot bangunan luar pangsapuri), situ diserbu awal tahun lepas. Ramai yang kena tahan, tiga trak,” katanya kepada Malaysiakini.

'Ramai dah balik'

Kata Arelim, selain warganegara Nigeria, pendatang asing yang tinggal di pangsapuri itu terdiri daripada warganegara Thailand, Filipina, Bangladesh dan lain-lain.

Jika di pangsapuri tersebut, katanya, untuk tahun ini, serbuan sudah dua kali dibuat oleh pihak berkuasa- satu pada awal bulan lalu, satu lagi pada hari raya kesepuluh yang lalu.

“Sekarang mereka dah kurang. Tak ramai dah, ramai yang dah balik. Dulu lagi ramai.

“Tiap-tiap malam, ada tiga ke empat orang polis buat rondaan. Kalau mereka bergaduh pun, polis memang datang. Boleh dikatakan polis sini cepatlah, balai pun dekat.

“Sekarang ini pun ada sekuriti, jadi penduduk adu pada sekuriti dulu untuk lihat keadaan jika ada apa-apa berlaku. Kalau tak terkawal, baru panggil polis,” katanya yang berniaga makanan ringan di pangsapuri itu.

'Semua dilayan sama'

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud menafikan dakwaan yang ditimbulkan Williams dan Oke berkenaan diskriminasi terhadap warga Nigeria.

"Tidak benar. Semua tahanan berada dalam blok yang sama dan bercampur antara warga negara. Jika ada dipukul, tahanan lain akan nampak. Layanan adalah sama.

Khairul Dzaimee Daud

"Bagaimanapun Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak berkompromi dengann salah laku pegawai. Aduan mesti beserta bukti, tindakan tegas bawah peraturan tatatertib akan dikenakan," katanya.

Perkara sama turut disuarakan Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Arsad Kamaruddin berhubung dakwaan pegawainya meminta rasuah.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sedia berjumpa mangsa agar dakwaan yang dibangkitkan dapat disiasat dan diambil tindakan sewajarnya.

"Jun lalu kami ada buat tangkapan 95 orang Afrika. Saya tidak terima sebarang aduan tentang perkara ini.

"Sekiranya ada saya minta mangsa tersebut jumpa saya, supaya tindakan dapat diambil jika ia memang berlaku," katanya lagi. 


Lihat Komen