Sikap ingin mengejar kepentingan politik dan merebut kuasa tanpa mengambil kira kesan buruknya menyebabkan munculnya golongan yang memiliki unsur fanatik dan ketaksuban dalam arena politik kebelakangan ini, kata Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman hari ini.
"Kelompok ini adalah mangsa kepada gerakan yang semata-mata mengejar kepentingan politiknya iaitu merebut kuasa tanpa mengambil kira bahawa ia sebenarnya mengarah kepada perpecahan," tambahnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan "Seminar Etika Dan Budaya Berpolitik dari Persektif Islam" anjuran bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan kerajaan negeri Johor pagi tadi.
"Tingkah laku yang melanggar batasan akhlak seperti caci-mencaci, mengeji, maki hamun dan budaya fitnah hanya akan mendorong kepada tingkah laku tidak beradap, bermoral dan berakhlak selain bertentangan dengan etika dan adab berpolitik," tambahnya.
Menurutnya, sepatutnya mereka yang terlibat dengan politik menjadi semakin matang dan gejala ini mengongkong pemikiran kerana kejahilan dan kecetekan akal hingga boleh mendorong pertimbangan yang sempit.
Kod etika wakil rakyat
Sementara itu dalam sidang akhbarnya, beliau berkata di Johor telah diwujudkan satu kod etika wakil-wakil rakyat.
"Ia telah diperkenalkan sejak piliharaya umum yang lalu, dengan tujuan agar wakil rakyat ini mudah ditemui, memahami masalah rakyat dan juga dapat memastikan mereka menjadi contoh yang baik," katanya.
Menurutnya, kod itu diwujudkan kerana berpendapat wakil rakyat yang dipilih perlu memelihara amanat yang diberikan oleh rakyat kepada mereka.
"Di Johor, kita (pemimpin politik) cuba mengambil contoh dan pendekatan amalan yang baik untuk diamalkan," katanya.
Beliau juga memberitahu gejala negatif yang didakwa wujud dikalangan ahli politik itu adalah merujuk kepada semua golongan dan bukannya kepada parti yang tertentu.
