malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kit Siang: Saya tak pernah kata Dr M korup
Diterbitkan:  Jul 14, 2019 10:34 AM
Dikemaskini: 2:36 AM
ADS

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata bahawa beliau tidak pernah menuduh Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang yang korup.

"Saya tidak pernah mengatakan bahawa dia seorang yang korup, anda boleh meneliti semua kenyataan saya, tetapi saya tidak pernah mengatakan bahawa Dr Mahathir seorang yang korup.

"Saya kata ada berlaku penyalahgunaan kuasa dan seumpamanya," kata Lim dalam wawancara bersama NST.

Ditanya sama ada beliau akan terus menggesa siasatan yang sebelum ini dibangkitkannya semasa tempoh pertama Mahathir sebagai perdana menteri (1981 hingga 2003), Lim mengaskan bahawa pembinaan Malaysia baru adalah lebih utama ketika ini.

"Saya fikir mari kita berurusan dengan pembinaan Malaysia yang baru. Saya tidak akan menarik balik satu perkataan yang saya katakan sebelumnya.

"Tapi dalam keadaan sekarang, anda perlu membina sebuah negara baru di Malaysia yang mempunyai kebebasan, demokrasi, keadilan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Lim turut berkongsi kisah ketika hari-hari awal kerjasama beliau dengan Mahathir, yang menunjukkan bagaimana kedua-duanya mengatasi kejanggalan.

"Suatu ketika sebelum pilihan raya Mahathir memberitahu saya: 'Duduk dengan kamu di khalayak ramai, saya akan kehilangan banyak undi Melayu'.

"Dan saya memberitahu Mahathir: 'Ya, saya pula akan kehilangan banyak undi bukan Melayu.

"Tetapi kita perlu berganding bahu," kata Lim.

Ditanya sama ada Mahathir memerlukan lebih banyak masa sebagai perdana menteri sebelum menyerahkan jawatan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Lim berkata beliau tidak meragui janji Mahathir untuk menyerahkan jawatan.

Lim berpendapat bahawa pembuat keputusan dalam gabungan itu - dia bukan salah seorang daripada mereka - mempunyai jadual sendiri dan dia tidak mempunyai alasan untuk meragui peralihan kuasa akan berlaku.

"Tidak ada sebab untuk difikirkan sebaliknya dan saya tidak fikir kita perlu 'menambah garam'. Saya fikir 'menambah garam' adalah tugas wartawan dan penulis, bukan ahli politik," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan Abdul Hadi Awang yang sering mengaitkan DAP dengan agenda sosialisas dan komunis, Lim menyifatkan tindakan presiden PAS itu sebagai memomokkan partinya.

"Lenin, Stalin, Mao Zedong, Kim Il-sung dan Fidel Castro akan kecewa jika mereka tahu Hadi mengaitkan pemimpin sosialis seperti Jawaharlal Nehru, Nelson Mandela, Harold Wilson, Tony Benn dan Bob Hawke dengan komunisme.

"Saya fikir Hadi tidak mengetahui kebenaran, dia memomokkan DAP dan itu masalahnya," katanya.

Lihat Komen