malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pelaburan domestik jadi tumpuan Khazanah, kata Azmin
ADS

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata, Khazanah Nasional Bhd akan dapat menumpukan lebih perhatian kepada pelaburan domestik susulan penjualan pegangan dalam syarikat air dan tenaga Arab Saudi.

Beliau berkata, Khazanah mempunyai peranan untuk meningkatkan pelaburan domestik dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dalam negara.

"Khazanah akan memberikan penjelasan berkenaan sebab mereka perlu melihat kepada aktiviti teras (syarikat itu)," katanya kepada pemberita di Graduan Aspire Career Fair di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau merujuk penjualan pegangan dalam Desaru Investments (Cayman Islands) Ltd (DIL) kepada Malakoff Corp Bhd milik Syed Mokhtar Al-Bukhary yang melibatkan urus niaga AS$70 juta.

Dalam urus niaga itu, Malakoff akan menggandakan pegangannya dalam Malaysian Shoaiba Consortium Sdn Bhd - yang melabur dalam beberapa syarikat tenaga dan air Arab Saudi - daripada 40 kepada 80 peratus.

"Sebahagian daripada pelaburan sebelum ini telah berjaya mendapat keuntungan besar, dan kita perlu beri tumpuan kepada pelaburan domestik yang perlu diberi perhatian," kata Azmin lagi.

Dalam satu hantaran Facebook semalam, bekas perdana menteri Najib Razak berkata kerajaan Pakatan Harapan menjual pegangannya walaupun syarikat Arab Saudi itu mencatat keuntungan setiap tahun.

Sementara itu, Azmin berkata beliau tiada maklumat berkenaan tawaran pengambilalihan Plus Malaysia Berhad (Plus) oleh Maju Holdings Sdn Bhd yang tidak dipersetujui Khazanah.

Saya tidak tahu tentang maklumatnya tetapi tentu proses rundingan dan perbincangan masih diteruskan," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa Khazanah, selaku pemegang saham utama PLUS, tidak setuju dengan tawaran Maju Holdings.

Semalam, Lim juga berkata keputusan kementeriannya menolak tawaran tersebut selepas mengambil kira pandangan daripada Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang juga pemegang saham utama.

Bagaimanapun beliau berkata akan berjumpa dengan Maju Holdings memandangkan syarikat itu akan mengemukakan tawaran baru.

Berkenaan acara hari ini yang dilancarkannya, Azmin berkata golongan muda perlu bersedia berdepan cabaran baru dalam kerjaya.

"Seperti saya sebut tadi, kita perlu menyediakan modal insan dan tenaga kerja kita untuk menerima teknologi baru ini.

"Suka atau tidak, untuk Malaysia melangkah ke depan, kita perlu menyediakan diri kita dan tidak boleh kalah dalam zaman kompetitif ini. Jadi saya setuju yang kerajaan perlu bersedia membangu golongan muda (dan melengkapi mereka) dengan kemahiran baru," katanya lagi.

Lihat Komen