malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri: Jangan berhelah, komisen syarikat e-hailing maksimum 20%
ADS

Kementerian Pengangkutan mengingatkan syarikat pengendali e-hailing (EHO) supaya tidak mengambil komisen daripada pemandu e-hailing melebihi 20 peratus.

Kata menterinya, Anthony Loke, kadar komisen maksimum 20 peratus seperti yang ditetapkan kerajaan itu termasuk segala kos yang perlu dibayar pemandu kepada EHO, meskipun kos-kos itu diletakkan dengan nama berbeza.

“Saya nak mengingatkan, penguatkuasaan dan peraturan yang bermula hari ini juga terpakai kepada semua EHO, [...] kita akan memantau supaya segala syarat yang kita tetapkan mesti dipatuhi, antaranya komisen dibenarkan hanya 20 peratus maksimum.

“Tak boleh ada mana-mana tambahan komisen yang lain. Saya tahu ada syarikat EHO guna pelbagai helah, mereka pakai nama lain, bukan komisen. Mereka bermain dengan perkataan, cuba perdayakan sistem.

“[...] 20 peratus komisen, tambah 5 peratus fi. Ada yang pakai perkataan macam ini. Fi dan komisen apa bezanya? Juga kena dibayar oleh pemandu kan? Jadi janganlah main perkataan dengan kita, kita faham. Saya tahu bahasan Inggeris jugalah,” katanya dalam sidang media di Putrajaya.

Tambahnya, syarikat EHO yang didapati ingkar dan melanggar peraturan yang ditetapkan akan dikenakan tindakan.

Loke berkata, kadar komisen 20 peratus itu ditetapkan untuk pemandu e-hailing, manakala bagi pemandu teksi yang beroperasi melalui aplikasi e-hailing, komisen ditetapkan pada kadar maksimum 10 peratus.

Hari ini adalah hari berkuatkuasanya pematuhan beberapa syarat untuk perkhidmatan e-hailing termasuklah supaya pemandunya mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV).

Bagaimanapun, dalam sidang media sama, Loke mengumumkan bahawa penguatkuasaan itu dilakukan secara soft-landing, di mana pemandu diberikan masa tambahan tiga bulan untuk memenuhi syarat-syarat tersebut di samping dibenarkan meneruskan opeasi mereka.

Keputusan itu, katanya, dibuat kerana masih ramai pemandu yang tidak sempat menyempurnakan syarat tersebut selain bagi mengelakkan gangguan penggunaan perkhidmatan itu oleh penumpang.

Tiada sebab naik harga

Selain lesen PSV, antara syarat lain yang perlu dipatuhi pemandu ialah membuat pemeriksaan kenderaan di Puspakom untuk kenderaan atas tiga tahun, dan memiliki permit kenderaan e-hailing (EVP).

Selain itu, mengulas tentang dakwaan bahawa harga perkhidmatan e-hailing mengalami kenaikan harga hari ini, Loke menjamin perkara itu tidak berterusan memandangkan pemandu kini sudah boleh meneruskan perkhidmatan seperti biasa.

“Kita tahu ada syarikat yang cuba macam-macam helah (menaikkan harga), semua ini untuk buat kerajaan tersepit, dan untuk paksa kerajaan buat U-turn dan tarik balik peraturan ini. Kita tahu ini semua strategi sesetengah syarikat.

“Tapi macam saya dah umumkan tadi, kabinet telah putuskan (keputusan lanjutan masa terhadap pemandu), jadi tak ada sebab (lagi) kenapa syarikat-syarikat ini hendak naikkan harga,” katanya lagi.

Lihat Komen