malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan peroleh semula RM925.1 juta wang 1MDB
Diterbitkan:  Jul 12, 2019 1:33 PM
Dikemaskini: 6:13 AM
ADS

Sebanyak RM925 juta dana berkaitan 1MDB telah dikembalikan setakat ini kepada Kementerian Kewangan, kata menterinya Lim Guan Eng.

Menurut Lim, sebahagian besar dana itu adalah hasil jualan Hotel Park Lane di Manhattan, New York (RM567.8 juta) selain wang dirampas daripada syarikat pembikin filem Red Granite Pictures (RM238 juta), yang mana telah dipulangkan kerajaan Amerika Syarikat.

Kata Lim, baki RM97.3 juta dipulangkan oleh kerajaan Singapura.

Selebihnya iaitu RM27 juta diterima daripada 1MDB sendiri (RM20.9 juta) dan  Yayasan 1MDB (RM6.1 juta).

"Pihak berkuasa negara, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Jabatan Peguam Negara, berserta dengan kerjasama pihak berkuasa luar negara, sedang meneruskan usaha agar dana yang diselewengkan dapat dikembalikan untuk membayar balik hutang 1MDB berjumlah lebih RM51 bilion, termasuk faedah pinjaman akan datang, yang dijamin oleh Kerajaan Persekutuan," kata Lim dalam satu kenyataan.

Lim juga menegaskan bahawa dana berjumlah RM925 juta yang diterima tidak termasuk jualan kapal Equanimity kepada Genting Malaysia Bhd sebanyak AS$126 juta (kira-kira RM527.4 juta) tahun ini.

"Hasil jualan tersebut telah diterima sepenuhnya pada 23 April 2019 dan kini disimpan di dalam Sheriff's Stakeholder Account (dalam sebuah syarikat guaman terkemuka di Malaysia) untuk tempoh tiga bulan bagi tujuan penyesuaian dengan tuntutan perbelanjaan penyelenggaraan kapal yang akan ditentukan melalui Perintah Mahkamah.

"Baki hasil jualan setelah ditolak jumlah perbelanjaan yang terlibat dijangka akan didepositkan ke dalam Recovery Account milik 1MDB atau Kementerian Kewangan pada bulan Ogos 2019.

"Bila diterima USD126 juta ini kelak, wang dana ini akan digunakan untuk melunaskan sebahagian daripada hutang 1MDB," katanya.

Puji pengerusi Kojadi

Dalam kenyataannya, Lim juga memuji pengerusi Koperasi Jayadiri Malaysia Bhd (Kojadi), Ng Peng Hay kerana berusaha untuk mengembalikan wang milik 1MDB kepada kerajaan.

Antara 2012 dan 2013, koperasi milik MCA itu menerima RM15 juta daripada Yayasan 1MDB.

"Jelas sekali, Kojadi dipengaruhi oleh parti politik MCA. Campur tangan MCA dalam urusan Kojadi disahkan sendiri oleh Pengerusi Kojadi, Datuk Ng Peng Hay, yang juga seorang bekas Adun MCA dari Melaka.

"Komitmen pengerusi Kojadi untuk melakukan perkara yang betul dengan berusaha memulangkan wang kepada Yayasan 1MDB, sungguhpun berhadapan dengan pelbagai tindakan ke atasnya, harus dipuji," kata Lim.

Ng sejak beberapa minggu ini dilaporkan berbalah secara terbuka dengan Presiden MCA Wee Ka Siong.

Beliau mendakwa Wee menghalangnya daripada bertemu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengembalikan dana berkaitan 1MDB.

Bagaimanapun, Wee menafikannya dengan mengatakan rundingan sepatutnya dilakukan sebelum sebarang tindakan diambil.

Awal minggu ini, Ng mendakwa digantung sewenang-wenangnya daripada jawatannya oleh lembaga Kojadi.

Lihat Komen