Pengiklanan

    Kementerian Kerja Raya masih kaji tawaran Maju Holdings - Baru Bian

    (Dikemaskini )

    Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata kementeriannya masih mengkaji tawaran daripada Maju Holdings Sdn Bhd untuk mengambil alih syarikat pengendali lebuhraya Plus Malaysia Bhd.

    Beliau berkata kementeriannya menerima tawaran secara rasmi daripada Maju Holdings minggu lepas, dan akan mengkaji perkara itu sebelum membuat sebarang cadangan kepada kabinet, lapor The Edge.

    "Sekarang, kami masih di peringkat kementerian, kami akan menyemak tawaran tersebut dan akan membuat cadangan di kabinet.

    "Bagi kami, ini adalah transaksi perniagaan. Peranan kami hanya mengemukakan cadangan mengenai perkara ini. Buat masa ini, ini adalah satu-satunya tawaran yang kami terima," Baru Bian dilaporkan berkata di lobi parlimen, semalam.

    Beliau berkata demikian meskpun Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini dilaporkan membantah tawaran Maju Holdings yang dicadangkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

    Lim memberitahu pemberita bantahan itu berdasarkan maklum balas daripada pemegang saham utama Plus - Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    "Pada masa ini, Khazanah dan KWSP tidak bersetuju (untuk pengambilalihan yang dicadangkan)," katanya.

    Lim menambah beliau bersedia bertemu dengan Maju Holdings, memandangkan syarikat itu sedang menyediakan tawaran baru.

    Tiada butiran yang diberikan mengenai tawaran terkini tetapi pada 2017, Maju Holdings meletakkan harga RM36 bilion untuk pengambilalihan Plus, yang memiliki Lebuhraya Utara-Selatan. Tawaran itu ditolak oleh pentadbiran terdahulu.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih