malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin, berjaya dalam permohonannya untuk mendapatkan penangguhan hukuman penjara atas kesalahan menghasut.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Abdul Halim Aman membuat keputusan itu selepas menerima permohonan dikemukakan peguam Radzlan Jalaluddin.

Pihak pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Terdahulu pada 9 Julai lalu Abdul Halim mendapati Wan Ji bersalah menghasut dan menanam kebencian rakyat terhadap institusi raja-raja.

Abdul Halim kemudian meminda hukuman penjara ke atas anggota PKR itu dengan menjadikannya setahun - berbanding sembilan bulan sebelum ini - selepas memberi pertimbangan kepada rayuan silang pihak pendakwaan.

Selepas membacakan keputusan mahkamah, Abdul Halim mengarahkan Wan Ji, 37, menjalani hukuman penjara bermula pada hari itu juga.

Permohonan lisan Radzlan untuk menangguhkan hukuman ditolak Abdul Halim dan beliau mengarahkan ia dibuat secara rasmi. 

Wan Ji dituduh mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, iaitu kesalahan mencetak, menerbitkan, menjual, menawarkan untuk dijual, mengedarkan atau mengeluarkan semula sesuatu penerbitan menghasut.

Jika disabitkan kesalahan, seseorang itu boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan denda maksimum RM5,000.

Sebelum itu semasa prosiding berlangsung di depan orang ramai yang memenuhi mahkamah, Abdul Halim bertanya kepada Radzlan bagaimana peguam itu tahu ada merit untuk Wan Ji membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Radzlan kemudian memberitahu hal itu akan dijelaskan di mahkamah berkenaan.

Abdul Halim: Adakah kamu yakin ada alasan kukuh?

Radzlan: Insya-Allah.

Mohd Asnawi: Pihak pendakwaan tidak ada bantahan.

Sementara itu ketika ditanya Abdul Halim mengenai syarat Mahkamah Sesyen Shah Alam membenarkan penangguhan hukuman ke atas Wan Ji bagi membolehkan kes itu dirayu di mahkamah tinggi sebelum ini, Mohd Asnawi berkata, tertuduh diarah menyerahkan pasportnya.

"Bagaimanapun pada ketika itu mahkamah diberitahu tertuduh tidak memiliki pasport. Oleh sebab itu tiada syarat lain dikenakan selain ikat jamin," katanya.

Kemudian Abdul Halim membenarkan penangguhan hukuman penjara berkenaan dan ia disambut dengan sorakan penyokong Wan Ji.

"Saya membenarkan penangguhan hukuman. Syarat yang dikenakan sebelum ini dikekalkan.

"Bagaimanapun ada syarat baru, iaitu pasport (Wan Ji) mesti diserahkan kepada mahkamah.

"Kalau dia tak ada pasport, tertuduh tidak boleh meninggalkan negara tanpa kebenaran mahkamah," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen