malaysiakini logo
story-image
ADS

Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang mengkaji dua fokus utama dalam usaha menggalakkan kebebasan media yang lebih baik di Malaysia, kata menterinya, Gobind Singh Deo.

”Kita perlu memperakui bahawa kita perlu berusaha lebih banyak untuk meneruskan agenda pembaharuan berhubung media dan kebebasan media.

"Dua bidang utama yang saya lihat ialah memastikan kesemua undang-undang yang perlu dipinda dan dimansuhkan dilakukan secepat mungkin, dan juga penubuhan majlis media,” katanya kepada media Malaysia di Londin, malam tadi.

Gobind sebelum itu berucap pada sesi pleno Persidangan Global Bagi Kebebasan Media yang julung kali diadakan pada Rabu dan Khamis.

Dalam ucapannya bertajuk “Apakah Kebebasan Media: Mengapa Ia Penting?" menteri itu berkata kerajaan baru Malaysia menjanjikan lebih banyak ketelusan dan akauntabiliti serta menghapuskan undang-undang bercorak menindas yang pernah digunakan untuk menghalang media dan pandangan bertentangan.

“Salah satu janji pertama yang ditunaikan ialah memansuhkan akta kontroversial, Akta Antiberita Tidak Benar 2018, yang digubal secara tergesa-gesa oleh kerajaan terdahulu untuk mengetatkan kawalan terhadap media, pembangkang dan masyarakat sivil.

"Walaupun rang undang-undang itu ditolak di Dewan Negara, undang-undang itu hari ini tidak lagi diguna pakai di Malaysia, “ katanya.

Mengenai majlis media, Gobind berkata, kerajaan dalam proses mengadakan rundingan dan mendapatkan maklum balas menerusi perbincangan dengan pengamal media, wartawan, organisasi media, kesatuan, kumpulan masyarakat sivil dan kumpulan lain yang mempunyai kepentingan.

Majlis media berperanan sebagai badan pengawal selia sendiri yang bebas untuk mendukung piawaian kewartawanan, menaikkan tahap profesionalisme dan menyediakan ruang untuk arbitrasi aduan awam.

Lebih seribu tetamu

Anggota panel sesi pleno tersebut termasuk peguam hak asasi manusia terkenal antarabangsa, Amal Clooney, Wakil Khas Mengenai Kebebasan Media di Pejabat Hal Ehwal Luar United Kingdom (UK) dan Ketua Pengarah Unesco, Audrey Azoulay.

Anggota lain termasuk Menteri Komunikasi dan Informasi Indonesia, Rudiantara dan Ketua Pegawai Eksekutif dan pemilik laman berita dalam talian, Rappler, Maria Ressa.

Persidangan yang dianjurkan kerajaan Kanada dan UK itu dihoskan Menteri Luar Kanada, Chrystia Freeland, dan Setiausaha Luar UK, Jeremy Hunt.

Persidangan itu merupakan sebahagian daripada kempen antarabangsa untuk menyerlahkan perhatian global terhadap kebebasan media.

Acara berkenaan mengumpulkan lebih 1,000 tetamu termasuk menteri dan pegawai kerajaan, komuniti diplomatik, agensi antarabangsa, wartawan, masyarakat madani dan ahli akademik.

Antara lain, persidangan itu meneliti cabaran yang dihadapi kebebasan media dan peluang yang akan diwujudkan untuk persekitaran yang lebih selamat bagi wartawan.

- Bernama

Lihat Komen