malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Datuk Bandar KL dibayar RM200k untuk setuju beli tanah - Saksi
Diterbitkan:  Jul 11, 2019 9:11 PM
Dikemaskini: 1:11 PM
ADS

KES KU NAN | Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd telah membuat bayaran RM200,000 kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur sebagai persetujuan menerima tawaran penjualan dua lot tanah di Bandar Tun Razak milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan Korporat DBKL, Razailia Khalid ,43, berkata Aset Kayamas telah membuat bayaran berkenaan melalui bank draf bernombor 004094 dari Hong Leong Islamic Bank bertarikh 5 Jun 2015.

"Saya merujuk kepada surat daripada Jabatan Perancangan Ekonomi & Penyelarasan (JPEPP) DBKL kepada Jabatan Kewangan DBKL bertajuk ‘Tawaran penjualan harta tak alih milik Datuk Bandar Kuala Lumpur di atas lot 53427 dan 53653 kepada Aset Kayamas’ pada 5 Jun 2015.

"Dokumen ini merupakan surat daripada pihak JPEPP kepada Jabatan Kewangan DBKL berkenaan dengan bayaran Wang Kesungguhan yang dibayar oleh pihak syarikat sebagai akuan setuju terima tawaran penjualan tanah di lot berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca penyataan saksinya pada hari keenam perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor.

Saksi pendakwaan ke-15 itu yang bertanggungjawab menguruskan permohonan penjualan tanah berkenaan berkata surat itu merupakan surat arahan kepada Jabatan Kewangan untuk mengeluarkan resit asal pembayaran kepada JPEPP bagi urusan penyerahan kepada pihak Aset Kayamas.

"Saya mengesahkan bahawa saya telah menandatangani surat ini bagi pihak Pengarah JPEPP Bahagian Penswastaan," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rullizah Abdul Majid.

Razailia turut mengesahkan beliau menyediakan surat daripada JPEPP kepada Aset Kayamas bertarikh 18 Ogos 2015 yang bertajuk: Per: Tawaran Penjualan Harta Tak Alih Milik Datuk Bandar Kuala Lumpur di atas Lot 53427 dan Lot 53653 di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur - Tuntutan Bayaran 10 peratus daripada Harga Jualan - RM2,356,240.00.

"Saya mengesahkan saya yang menyediakan surat tersebut untuk ditandatangani oleh Pengarah JPEPP, Ab Salim Mansor," katanya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Selasa.

- Bernama

Lihat Komen