malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kembalinya Zahid punca Dr M buka pintu Bersatu?
ADS

Tindakan Ahmad Zahid kembali jadi presiden didakwa untuk bantu Anwar, kata penganalisis.

Penganalisis politik melihat keputusan Ahmad Zahid Hamidi kembali menerajui Umno dan BN selepas bercuti kira-kira enam bulan sejak Disember lalu memang membawa agenda tertentu.

Malah, menurut Prof Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), ia dikuatkan lagi dengan tindakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang kemudian mempelawa anggota parti Melayu di negara ini menyertai Bersatu.

"Mungkin kita boleh lihat tindakan Ahmad Zahid kembali jadi presiden Umno itu sebagai untuk membantu Anwar Ibrahim (presiden PKR) dan ini telah mencetuskan tindak balas Mahathir.

"Hal ini kerana, dalam Umno sendiri kita melihat ada dua puak, dengan satu menyokong Mahathir dan satu lagi menyokong Anwar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Jeniri berkata demikian sebagai mengulas pelawaan Mahathir untuk anggota parti Melayu di negara ini menyertai Bersatu.

Pelawaan itu dibuat pengerusi Bersatu itu pada 5 Julai lalu.

Dalam kenyataannya Mahathir berkata ketika ini sudah ada banyak parti Melayu dan bagi mengelakkan perpecahan lebih serius, mereka disarankan menyertai Bersatu.

Zahid diharap beri sokongan

Katanya, pelawaan itu merupakan usaha menyatu padu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.

Bagaimanapun pada 8 Julai, Mahathir menjelaskan pelawaannya agar parti politik Melayu menyertai Bersatu ditujukan kepada anggota Umno dan PAS.

Mahathir yang secara berseloroh turut mengakui beliau teruk dibelasah rakan kompenan PH ekoran pelawaan tersebut.

Mengulas perkara itu, Jeniri berkata apa yang dibangkitkan Mahathir itu tentu telah menimbulkan kesangsian dalam kalangan parti kompenan PH.

"Ini mungkin usaha beliau untuk menyekat Anwar daripada menjadi perdana menteri," katanya.

Menurut Jeniri jika jumlah anggota parlimen Bersatu kemudian dapat mengatasi bilangan anggota parlimen PKR, ia akan memberi kelebihan kepada parti berkenaan.

Pada masa sama, Jeniri berkata, beliau juga percaya Anwar akan melipat-gandakan usaha bagi memastikan dirinya berjaya menjadi perdana menteri selepas Mahathir.

"Presiden PKR itu akan pastikan, kalau berlaku apa-apa dia (Ahmad Zahid) mungkin akan memberi sokongan dari segi anggota parlimen manakala sebahagian yang lain di belakang Mahthir," katanya.

Bagaimanapun isu yang lebih penting, kata Jeniri, ialah berapa banyak sokongan dapat dibawa Ahmad Zahid untuk Anwar.

Sukar bertahan lepas PRU ke-15

Sementara itu pensyarah Universiti Malaya, Prof Awang Azman Awang Pawi berpendapat, ada "sesuatu" berlaku dalam politik di sebalik tawaran Mahathir.

Katanya, walaupun Mahathir telah menjelaskan tawaran tersebut dibuat secara umum - iaitu kepada anggota parti - namun beliau yakin ia adalah pelawaan kepada kepimpinan Umno dan PAS untuk menyertai Bersatu.

"Maknanya ada sesuatu di belakang tadbir politik itu sendiri, dan antara kemungkinannya ialah Mahathir tidak selesa dengan hujah pembangkang, iaitu DAP ini terlalu dominan dalam kerajaan.

"Kedua, adakah Mahathir melihat pengaruh Anwar semakin kuat dalam PH? Justeru beliau perlu untuk menjadi lebih kuat dengan membuat pelawaan tersebut.

"Saya fikir yang beliau bukan maksudkan dengan anggota biasa, tetapi maksud tersirat beliau ialah anggota parlimen Umno dan PAS, dan mereka masuk untuk menguatkan Bersatu," katanya.

Awang Azman berkata, kemungkinan itu ditambah dengan kedudukan Bersatu sebagai parti paling kecil anggota mereka di Dewan Rakyat.

"Kita tahu Bersatu parti yang kecil dan hampir sama dengan Amanah dalam PH, tetapi walaupun minoriti tetapi pemimpinnya dapat jadi perdana menteri.

"Dan dan perkara ini kita lihat sukar untuk bertahan khususnya menjelang PRU ke-15 dan selepasnya.

"Maknanya Mahathir perlu mengukuhkan Bersatu dengan apa cara sekali pun khususnya menarik kalangan Umno dan PAS," katanya.

Jika tidak, kata Awang Azman, maka mustahil Bersatu mendapat jawatan yang strategik selepas Mahathir berunur nanti.

"Saya lihat itulah rasionalnya perdana menteri membuat tawaran sedemikian," katanya.

Tambah Awang Azman, tindakan Mahathir juga dipercayai dibuat atas dasar beliau tahu kekuatan parti Bersatu sendiri setakat mana.

Berbanding Umno yang memiliki struktur kukuh, ribuan cawangan, Bersatu pula jauh lebih kecil.

Jika keadaan itu berterusan sehingga PRU ke-15, katanya nasib Bersatu sukar diramalkan.

"Bersatu bertahan disebabkan Mahathir. Ini hakikat - faktor Mahathir dan faktor Muhyiddin, manakala PAS pula mempunyai ahli dan jentera yang walak dan sanggup bekerja demi parti," katanya.

Justeru, Awang Azman berpendapat, antara anggota parlimen yang boleh dibawa menyertai Bersatu ialah Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Rembau) dan Hishammuddin Hussien (Sembrong).

"Kalau perlu dia cuba tarik personaliti politik misalnya Hishammuddin atau Khairy Jamaluddin untuk menyokong dia," katanya.

Lihat Komen