Pengiklanan

    Sangeet mungkin tarik balik saman terhadap ketua hakim negara


    (Dikemaskini )

    Anak kepada mendiang Karpal Singh, peguam Sangeet Kaur Deo berkemungkinan menarik balik tindakan undang-undang ke atas bekas Ketua Hakim Negara berhubung dengan dakwaan campur tangan kehakiman dalam keputusan kes hasutan mendiang bapanya dan kes mengubah agama tiga kanak-kanak beragama Hindu.

    "Saya mungkin menarik balik saman itu tetapi ia bergantung kepada perkembangan kes itu,” Sangeet memberitahu pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Firuz Jaffril hari ini yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy.

    Narkunavathy berkata, Jabatan Peguam Negara telah meminta pemohon (Sangeet) agar menangguhkan penarikan balik saman itu sementara menunggu keputusan permohonan mereka memadamkan sebahagian besar afidavit Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer.

    “Tiada keputusan telah dibuat berhubung perkara itu dan hakim menetapkan 6 Ogos untuk pengurusan kes akan datang,” katanya.

    Sangeet juga berkata, beliau telah membuat permohonan formal kepada Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat agar perkara itu disiasat.

    “Saya tidak fikir hasil keputusan rayuan Mahkamah Persekutuan akan menangani aduan yang menjejaskan imej kehakiman Malaysia ini,” katanya.

    Pada 29 Mac, Mahkamah Persekutuan melepaskan mendiang Karpal Singh daripada tuduhan hasutan kerana didakwa mempersoalkan tindakan Almarhum Sultan Perak berhubung krisis Perak selepas menyatakan bahawa terdapat salah urus undang-undang oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan apabila kedua-dua mahkamah itu gagal untuk menilai pembelaan oleh bekas Pengerusi kebangsaan DAP itu (Karpal Singh).

    Mahkamah tertinggi itu membenarkan rayuan bagi mengetepikan sabitan Karpal Singh dan dikenakan denda RM1,800. Isteri mendiang, Gurmit Kaur, 70, bertindak sebagai perayu pengganti dalam rayuan itu.

    Sangeet berkata, sehingga hari ini tidak ada siasatan atau hasil yang sebenar berhubung dakwaan campur tangan dalam keputusan Mahkamah Rayuan (COA).

    “Saya rasa perkara itu masih perlu disiasat,” katanya dan menambah bahawa beliau telah menulis kepada Ketua Hakim Negara (CJ) dan berharap perkara itu akan disiasat.

    Sangeet berkata, memandangkan CJ (Tengku Maimun) sebelum ini pernah menduduki panel COA, mereka mungkin perlu menimbang pihak yang benar untuk menyiasat dakwaan itu.

    “Jadi, kes itu ditangguhkan pada masa sekarang dan menjadi matlamat utama saya agar dakwaan ini disiasat dan bukan membiarkan saja ia senyap hilang,” katanya.

    Pada 14 Feb, Hamid Sultan mengemukakan afidavit setelah 63 muka surat bagi menyokong satu saman pemula yang dikemukakan oleh Sangeet terhadap CJ pada ketika itu.

    Dalam saman pemula itu, Sangeet Kaur cuba mendapatkan, antaranya, satu deklarasi bahawa Ketua Hakim Negara telah gagal menjalankan tugas sebagai ketua kehakiman bagi mempertahankan integriti dan kredibalitinya apabila beliau gagal menyiapkan siasatan terhadap dua dakwaan iaitu campurtangan kehakiman terhadap keputusan rayuan kes hasutan mendiang bapanya Karpal Singh dan dalam kes penukaran agama guru tadika, M Indira Gandhi.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih