malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Adun dituduh ada hubungan dengan MB ancam saman
Diterbitkan:  Jul 11, 2019 8:22 PM
Dikemaskini: 12:22 PM
ADS

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli, akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah mengaitkan beliau dengan Menteri Besar Selangor Aminudin Shari.

Juwairiya berkata, pihaknya sedang memantau perkembangan isu berkenaan untuk tindakan selanjutnya.

“Pihak saya telah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan fitnah tersebut yang boleh mencemarkan imej dan kredibiliti saya selaku Adun serta pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

“Saya telah berbincang dengan pihak peguam untuk tindakan undang-undang," katanya.

Wakil rakyat penggal pertama itu menjelaskan apa yang ditularkan pihak tertentu adalah fitnah.

"Saya tidak berada di lokasi berkenaan pada tarikh yang didakwa itu,” katanya.

Selasa lalu, sebuah akaun Facebook mendakwa terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pergerakan Amirudin bersama seorang wanita di sebuah hotel di Sabah.

Susulan daripada itu, Amirudin hari ini tampil menafikan dakwaan tersebut.

Bagaimanapun, hasil carian Malaysiakini mendapati hantaran tersebut telah dipadamkan.

Amirudin juga telah berbincang dengan peguamnya dan akan mengambil tindakan sekiranya perlu.

"Saya yakin saya tiada di lokasi yang dikaitkan dalam tuduhan itu, malah pada waktu itu saya berada di Kuala Lumpur," kata Amirudin.

Lihat Komen