Pengiklanan

    KJ sedia heret Guan Eng ke jawatankuasa parlimen

    (Dikemaskini )

    Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin akan membawa usul untuk merujuk Lim Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sekiranya Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesahkan wang bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak "dirompak".

    Merujuk laporan media tentang gambaran kesimpulan yang dibuat PAC, Khairy berkata dakwaan Lim yang mengatakan wang berkenaan dirompak adalah mengelirukan Dewan Rakyat.

    "Sementara menunggu laporan rasmi dari PAC yang dijangka dibentangkan pada hari Selasa depan, terdapat laporan berita yang telah menyangkal tuduhan Menteri Kewangan sebelum ini kononnya wang bayaran balik GST telah dirompak.

    "Sekiranya perkara ini disahkan di dalam laporan PAC nanti, saya sendiri akan mengusulkan di Dewan Rakyat agar menteri kewangan dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana telah mengelirukan Dewan dan telah membuat satu tuduhan jahat ke atas pentadbiran terdahulu," tulis Khairy di laman sosial Facebooknya, hari ini.

    Awal hari ini, Malaysiakini memetik sumber yang melaporkan bahawa PAC mendapati kerajaan lama tidak "merompak" RM19.4 bilion yang diperuntukkan bagi bayaran balik GST namun sebaliknya digunakan untuk perbelanjaan kerajaan.

    Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa laporan PAC, yang akan dibentangkan di Parlimen pada Selasa depan, menggunakan istilah "tiada kehilangan".

    Malaysiakini difahamkan PAC mendapati pentadbiran BN membuat anggaran berlebihan untuk hasil yang akan diterima daripada GST, dan pada masa sama membuat anggaran rendah berkenaan jumlah yang diperlukan untuk bayaran balik.

    Sumber yang dihubungi Malaysiakini enggan mengulas lanjut perkara itu dan meminta menunggu laporan PAC dibentang kepada umum minggu depan.

    Siasatan dimulakan September lalu selepas Lim memberitahu Dewan Rakyat bahawa RM19.4 bilion dana bayaran balik GST diseleweng pentadbiran BN.

    Ia menyebabkan tunggakan yang perlu dibayar kerajaan Pakatan Harapan (PH).

    Menteri kewangan terdahulu Najib Razak menafikan dakwaan itu, dan berkata wang itu diletakkan dalam akaun disatukan kerajaan, dan kepada tabung amanah bertujuan membuat pembayaran semula secara berkala.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih